RB rai ulang tahun ke-40 penerbangan komersial

RB rai ulang tahun ke-40 penerbangan komersial

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) meraikan ulang tahun ke-40 penerbangan komersialnya yang pertama bulan ini dengan Majlis Doa Selamat yang diadakan di Kelab Rekreasi Diraja Brunei, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga selaku Pengerusi RB, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir ialah ahli-ahli lembaga pengarah, pesara anak kapal yang berkhidmat ketika penerbangan pertama beroperasi, ahli-ahli elit Royal Skies, rakan niaga, ejen pelancongan dan para jemputan.

Timbalan Pengerusi RB, Dermott Mannion dalam kata alu-aluannya antara lain berkata bahawa, RB baru-baru ini melalui tempoh perubahan dan pembangunan yang pesat dengan bimbingan dan sokongan pengerusi dan lembaga pengarah.

Permulaan proses penjenamaan semula pada tahun 2012, jelasnya, telah menyaksikan ketibaan armada Dreamliner B787 dan tidak lama lagi dua pesawat Airbus A320 NEO yang baru akan menyertai armada berkenaan, yang akan dilengkapi keselesaan dan kemudahan terkini.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama duta antarabangsa RB, timbalan pengerusi RB bersama kabin krew penerbangan pertama.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama duta antarabangsa RB, timbalan pengerusi RB bersama kabin krew penerbangan pertama.
Tetamu kehormat bersama jemputan menyaksikan galeri perjalanan sepanjang 40 tahun penerbangan RB.
Tetamu kehormat bersama jemputan menyaksikan galeri perjalanan sepanjang 40 tahun penerbangan RB.

Beliau seterusnya berkata, sepanjang proses penjenamaan itu, RB juga telah memperkenalkan uniform baru yang diinspirasikan daripada pakaian warisan bagi krew kabin, kakitangan perkhidmatan pelanggan dan perkhidmatan di lapangan terbang dan, baru-baru ini, pelancaran Pusat Perkhidmatan Pelanggan RB dan Pusat Perkhidmatan Royal Skies serba canggih yang telah menjalani pengubahsuaian di RB Plaza.

Inisiatif-inisiatif penjenamaan semula akan diteruskan dengan pelancaran laman sesawangnya yang juga telah diperbaharui dengan menampilkan pelbagai kandungan mengenai destinasi RB dan infrastruktur mesra pengguna, terutamanya enjin tempahan dalam talian.

Menurut beliau, enjin tempahan baru berkenaan akan menonjolkan perbandingan harga yang lebih baik, maklumat penerbangan yang lebih jelas dan susun atur yang lebih mesra pengguna.

Selain itu, Flyroyalbrunei.com juga akan menampilkan perkhidmatan sampingan yang membolehkan penumpang menempah tempat duduk yang diinginkan dan membeli elaun bagasi tambahan pada kadar yang menarik.

Ciri ‘Manage My Booking’ yang baru juga akan diperkenalkan yang mana ciri-ciri ini akan membolehkan penumpang melihat dan mengemas kini butiran tempahan pada bila-bila masa sahaja.

Dermott berkata ciri-ciri baru ini akan dapat meningkatkan lagi keupayaan mereka untuk memenuhi harapan pelanggan celik Internet yang semakin meningkat itu.

Pada majlis berkenaan, pameran turut diadakan yang menampilkan galeri memorabilia fotografi RB yang meliputi tempoh 40 penerbangannya.

Sepanjang perkhidmatannya, RB dikenali sebagai perkhidmatan yang tersendiri dengan mementingkan nilai-nilai dan keaslian layanan baik orang Brunei yang abadi.

Selain itu, RB juga telah mengekalkan kedudukan yang kukuh di pasaran walaupun terdapat persaingan sengit dan akan terus memberi tumpuan kepada melebihi kepuasan pelanggan.

ARTIKEL YANG SAMA