RB tambah kod ‘TK’

RB tambah kod ‘TK’

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Royal Brunei Airlines (RB) telah menandatangani perjanjian perkongsian kod dengan Turkish Airlines (TK) yang membolehkan penumpang terbang dari Bandar Seri Begawan ke Istanbul menerusi Dubai (dan sebaliknya).

Menurut RB, perjanjian berkenaan telah ditandatangani di Antalya, Turki oleh Ketua Pegawai Komersial dan Perancangan RB, Karam Chand dan Ketua Pegawai Pelaburan dan Teknologi TK, Dr. Ahmet Bolat.

Menyaksikan penandatangan itu bagi pihak RB ialah Pemangku Ketua Perancangan Rangkaian dan Perhubungan Antarabangsa, Ilyas Rory Teo dan bagi pihak TK ialah Naib Presiden Kanan Perhubungan dan Perikatan Antarabangsa, Ozlem Salihoglu.

Di bawah perjanjian perkongsian kod itu, TK menambah kod ‘TK’ kepada penerbangan yang dioperasikan RB dari Bandar Seri Begawan ke Dubai dan sebaliknya. Atas dasar persetujuan bersama, RB akan menambah kod ‘BI’ pada penerbangan TK dari Istanbul ke Dubai dan sebaliknya.

Antara pihak RB dan TK yang telah memeterai perjanjian perkongsian kod dengan TK.
Antara pihak RB dan TK yang telah memeterai perjanjian perkongsian kod dengan TK.

Perkongsian kod ini akan berkuat kuasa pada 22 Februari 2016.

Karam Chand dipetik sebagai berkata; “Royal Brunei Airlines gembira dengan penambahan kerjasama komersial terbaru di antara kedua-dua syarikat penerbangan. Kami teruja untuk mengembangkan lagi penentuan perkongsian kod ini pada masa depan bagi manfaat bersama.”

Manakala itu, Dr. Bolat pula berkata; “Sebagai Turkish Airlines, kami sangat gembira untuk menandatangani perjanjian perkongsian kod ini dengan Royal Brunei Airlines, yang akan memberikan peluang kepada kami mempromosikan destinasi luar laluan Bandar Seri Begawan melalui Dubai dan memperbaiki perkongsian kami bagi memaksimumkan peluang-peluang perjalanan yang ditawarkan kepada para penumpang kami menerusi rangkaian kedua-dua syarikat penerbangan.”

ARTIKEL YANG SAMA