RB Veteran kekalkan kejuaraan

RB Veteran kekalkan kejuaraan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – RB Veterans memberi tentangan hebat sekali gus berjaya mengikat juara bertahan Piala FA, M.o.D. dalam aksi Kumpulan B, Piala Presiden, Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 petang kelmarin.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) berkenaan, para pemain RB Veterans berjaya mengikat dan mampu menyaingi kekuatan M.o.D yang dibarisi beberapa orang bekas pemain kebangsaan seperti Awang Mohd Subhi Abdillah bin Bakir, Haji Rosaidi bin Haji Khamis dan Awang Azmanuddin bin Haji Gillen untuk berkongsi satu mata.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Manggis FC bermula cemerlang apabila membelasah Satria Veteran 8-1 di Stadium Mini Perkhemahan Bolkiah, yang menyaksikan Pengiran Haji Mohd Faizulkarnain meledakkan hatrik, manakala Awangku Mohd Faisal Effandy menyumbangkan dua gol.

Pengiran Haji Mohd Faizulkarnain membuka tirai jaringan pada minit ke-16, namun hanya seminit selepas itu kedudukan terikat 1-1 apabila Awang Samzani bin Judin menjaringkan gol buat Satria Veteran.

Tetapi perlawanan selepas itu dikuasai Manggis FC dengan Pengiran Haji Mohd Faizulkarnain menyumbat gol keduanya pada minit ke-20, disusuli dua jaringan oleh Awangku Mohd Faisal Effandy pada minit ke-33 dan 35 untuk membawa kedudukan 4-1 ke masa rehat.

Aksi penjaga gol MoD dalam keputusan seri 0-0 menentang RB Veterans (merah jambu)
Aksi penjaga gol MoD dalam keputusan seri 0-0 menentang RB Veterans (merah jambu)

Awang Morsidi bin Yahya menjadikan kedudukan 5-1 sepuluh minit selepas rehat disusuli dengan ledakan hatrik Pengiran Haji Mohd Faizulkurnain pada minit ke-59.

Dua lagi gol Manggis FC hadir pada minit ke-80 dan penghujung babak kedua masing-masing menerusi jaringan oleh Awang Mahli Shah bin Haji Abdul Latif dan Pengiran Eirwan bin Pengiran Haji Arais untuk memuktamadkan perlawanan pada kedudukan 8-1, sekali gus membawanya ke puncak Kumpulan B.

Sementara dalam aksi Kumpulan D di Kelab Rekreasi Brunei Shell, Seria, tuan rumah, BSRC berjaya mengutip tiga mata penuh apabila menang 2-1 ke atas Terazza FC.

BSRC mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Haji Abu Bakar bin Haji Sulaiman pada minit ke-38, sebelum ditambah oleh Awang Ahmad Daud bin Haji Zaini pada minit ke-60, separuh masa kedua. Terazza FC mendapat gol tunggalnya hasil jaringan Awang Sahbirin bin OKK Haji Nordin menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.

Terundi dalam Kumpulan A ialah Riwayat FC, I Team, Media FC, Pondok 12 dan Wasabi FC, manakala Kumpulan B diisi oleh M.o.D., Satria Veteran, Manggis FC, RB Veteran dan Muara Spurs.

Mengisi Kumpulan C ialah BESA FC, B.I.P. FC, Kilugus FC, DST Veteran dan NJP J4F FT, sementara BSRC, Setia Bakti ‘B’, PBDB, Terazza FC dan TJ FT terundi dalam Kumpulan D.

Kumpulan E pula mengandungi juara bertahan, XN FT, Menengah FC, Al Idrus, CLE‘AS Veteran FC dan KPPKSK, manakala Kumpulan F diisi oleh IKLS Veteran FC, Setia Bakti FC, Stoneville FC, Mangelella FC dan MBS Utd FC.

Terundi dalam Kumpulan G ialah Rimba Star FC, Old Stars, MPK PB Veteran, B.O.B. dan Mix FT, sementara PSJD, MIISA Utd FC, KB Warriors, AKSE Bersatu dan MOHAIS FC terundi dalam Kumpulan H.

Perlawanan dalam Kumpulan A di Kompleks Sukan Menglait itu menyaksikan I Team sudah selesa mendahului 7-1 pada separuh masa pertama sebelum menambah tujuh gol lagi pada separuh masa kedua.

Awang Hamdani bin Haji Tinggal merobek gawang Media FC seawal minit pertama, disusuli dengan jaringan Awang Ratano bin Haji Tuah tiga minit kemudian dan kedudukan segera menjadi 3-0 pada minit ke-6 apabila giliran Awang Kula bin Mohammad pula menggegar gawang Media FC.

Masuk minit ke-12 perlawanan, I Team mendahului 4-0 hasil jaringan Awang Mustapa bin Haji Saban, dan dua belas minit kemudian kedudukan menjadi 5-0 menerusi sumbangan gol Awang Noor Masaidrwan bin Mohd Sani.

Awang Kula mendapat gol kedua peribadinya pada minit ke-26 untuk terus membawa pasukannya selesa di depan, 6-0. Empat minit kemudian Media FC berjaya juga membolosi pertahanan I Team dengan Awang Mohd Azman bin Haji Jais meletakkan namanya sebagai penjaring tunggal Media FC.

Kedudukan menjadi 7-1 pada minit ke-32 dan walaupun babak pertama masih berbaki tiga belas minit, tiada lagi jaringan berjaya dihasilkan sehingga rehat.

Namun amukan I Team belum berakhir yang terzahir dengan ledakan tiga go berturut-turut oleh Awang Ratano untuk gol kedua, ketiga dan keempat peribadinya masing-masing pada minit ke-50, 55 dan 71 untuk I Team mencecah sepuluh jaringan.

Kemudian giliran Awang Mustapa pula meledakkan tiga gol berturut-turut masing-masing pada minit ke-80, 82 dan 89 untuk turut mencatat empat gol peribadi sekali gus membawa pasukannya di depan dengan jaringan 13-1.