RBC lancar ‘Cita Rasa Brunei’

RBC lancar ‘Cita Rasa Brunei’

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Dengan tema ‘Cita Rasa Brunei’, Royal Brunei Catering (RBC) telah melancarkan Pesta Makanan Tempatan Brunei 2015 di Restoran Seasons, Gadong, di sini, hari ini.

Pelancaran pesta yang akan berlangsung sehingga 22 November itu, telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah.

Pemangku Pengurus Besar RBC, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Mat Salleh, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, menjelaskan bahawa pesta ini bertujuan untuk mengekalkan tradisi makanan Brunei yang sudah semakin dilupakan pada zaman sekarang.

“Malah sesetengah warga Brunei terutamanya generasi baru jarang dapat merasakan atau pun tidak tahu langsung mengenai makanan tradisi Brunei seperti penyaram, katilapam, sayur rabung, batang pisang masak lemak atau tulang kari kadayan,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, pihak RBC merasakan warisan masakan Brunei harus dipromosikan atau diperkenalkan kerana ia mempunyai identiti yang tersendiri dan unik bukan sahaja kepada pelancong-pelancong dalam dan luar negara malah kepada generasi baru.

Dato Paduka Haji Hisham ketika merasmikan Pesta Makanan Tempatan Brunei 2015 di Restoran Seasons.
Dato Paduka Haji Hisham ketika merasmikan Pesta Makanan Tempatan Brunei 2015 di Restoran Seasons.

Dalam ucapannya itu, beliau memberitahu, lauk-pauk dan kuih-muih yang disajikan disediakan dengan cita rasa tradisi tetapi dipersembahkan atau diolah mengikut resipi semasa.

Sepanjang promosi ini, RBC akan menampilkan dua cef tempatan iaitu Cef Haji Jusni bin Haji Salleh dan Cef Maswadi Jahari serta pasukan cef-cef yang mahir dalam bidang masakan Brunei.

Antara hidangan popular yang disediakan oleh cef-cef tempatan RBC dalam pesta berkenaan termasuk Sup Krim Kembayau, Sup Kelapa Anikaut dengan Cendawan, Soto Brunei, Ambuyat, kupang masak merah, udang goreng tumis dan tumis urat daging kunyit yang akan disediakan dalam empat rantai menu.

Dalam promosi ini, RBC melalui Restoran Seasons menawarkan minum petang pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pada 2:30 petang sehingga 5:30 petang manakala bufet makan malam akan diadakan setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu dari pukul 7:00 malam sehingga 10:00 malam.

Antara hidangan yang disediakan di Pesta Makanan Tempatan Brunei 2015.
Antara hidangan yang disediakan di Pesta Makanan Tempatan Brunei 2015.

Menurut Pengiran Haji Abdul Rahman, pesta makanan tempatan ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan padu daripada Bank Baiduri, Brunei Tourism, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Ghanim international Food Corporation Sdn Bhd (Brunei Halal), Cityneon, Aewon, Panacom Sdn Bhd, The Empire Hotel & Country Club, CityMobile, Syarikat Sri Amri, Majlis Perundingan Kampung Sungai Matan dan Sungai Bunga, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Sahamada Corporation Sdn Bhd dan Astera Consultant Sdn Bhd.

Dalam promosi itu, para pelanggan akan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang menawarkan tiket-tiket penerbangan pergi balik ke Hong Kong (tempat pertama) dan ke Denpasar, Indonesia (tempat kedua) tajaan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, manakala itu, pemenang ketiga akan membawa pulang satu set TV LED HD berserta Home Theatre System yang ditaja oleh Panacom Sdn Bhd.

Tempat keempat pula akan memenangi pakej penginapan tiga hari dua malam di The Empire Hotel & Country Club tajaan hotel berkenaan dan pemenang kelima akan membawa pulang satu unit iPad Mini 2 16GB berserta baucar makan RBC bernilai $250 tajaan City Mobile dan RBC.

ARTIKEL YANG SAMA