RBC Lifestyle...

RBC Lifestyle perkenalkan konsep santai

Oleh Fizah HAB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – RBC Lifestyle, restoran santai moden baru yang terletak di Yayasan Block H, Waterfront Jalan McArthur (di bawah The Horizons Seafood Restaurant) secara rasmi dibuka dengan majlis pelancarannya malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal) dan Pengerusi Lembaga Pengarah RBC, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah dan Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets Sdn Bhd, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Pengurus Besar RBC, Awang Ahmad Husaini bin Hassan dan Pemangku Timbalan Pengurus Besar, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Mat Salleh serta ahli-ahli Lembaga Pengarah RBC, para jemputan dan warga media.

Dato Paduka Haji Hisham dan Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew ketika menghadiri Majlis Pelancaran RBC Lifestyle di Yayasan Block H, Waterfront Jalan McArthur.
Dato Paduka Haji Hisham dan Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew ketika menghadiri Majlis Pelancaran RBC Lifestyle di Yayasan Block H, Waterfront Jalan McArthur.

Selain menyajikan hidangan sarapan pagi gourmet dan slider mini istimewa RBC, restoran berkenaan juga merupakan tempat bagus bagi pelanggan yang ingin menikmati pasta, piza, frankfurter, sayap ayam salai serta ikan dan kentang goreng yang menyelerakan sambil menyaksikan pemandangan indah Kampong Ayer.

Peminat kopi juga boleh menikmati kopi berkualiti tinggi yang dibuat di restoran itu serta float sejuk yang terdapat dalam pelbagai perisa.

Bersempena dengan pembukaan rasminya, RBC Lifestyle hari ini menawarkan slider mini dan kentang goreng percuma kepada 200 pelanggan pertama bermula jam 10 pagi.