RBC, TelBru meterai kontrak

RBC, TelBru meterai kontrak

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Royal Brunei Catering (RBC) telah menandatangani kontrak perjanjian dengan Telekom Brunei Berhad (TelBru) untuk menggantikan sistem pengurusannya yang sedia ada kepada Sistem Pengurusan Sumber-sumber Manusia (HRMS) yang terkini.

Majlis penandatanganan berkenaan telah diadakan di Restoran Dynasty, Gadong, hari ini, di mana menandatangani bagi pihak RBC ialah Pengurus Besarnya, Awang Ahmad Husaini bin Hassan dan TelBru diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Kay.

Dengan penandatanganan ini, TelBru akan mengganti sistem yang sedang digunakan RBC kepada HRMS ialah sistem pengurusan terkini menggunakan fungsi pelbagai modul berasaskan web.

Sistem baru itu akan mampu menyimpan maklumat pekerjaan, persijilan, catatan latihan, maklumat prestasi, maklumat berkaitan dengan syarikat dan manfaat pekerja bagi setiap individu termasuk maklumat keluarga dan kecemasan.

Penukaran memorandum kontrak di antara RBC dan TelBru di Restoran Dynasty, kelmarin.
Penukaran memorandum kontrak di antara RBC dan TelBru di Restoran Dynasty, kelmarin.

Sistem tersebut dijangka akan mula beroperasi pada April 2017 dengan fungsi untuk menghubungkan kesemua cawangan RBC. Dengan ada sistem ini, ia akan dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran RBC untuk menjadi industri makanan terbaik di dalam dan luar negara.

Selain daripada HRMS, TelBru selaku penyalur telekomunikasi di negara ini juga menyediakan inisiatif dalam memberikan konsultasi dan penyelesaian bagi perusahaan kecil dan sederhana, korporat dan kerajaan. Antaranya, menawarkan sistem Enterprise Resourcing Planning (ERP), Business Intelligence, Konsultasi IT, Perkhidmatan Infrastruktur Pengurusan dan peningkatan proses (hosting).

ARTIKEL YANG SAMA