RCBSB anugerah dermasiswa

RCBSB anugerah dermasiswa

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Kelab Rotary Bandar Seri Begawan (RCBSB), hari ini, telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Dermasiswa Rotary Tahun 2015-2016 yang berlangsung di Vanda Chinese Restaurant, Tingkat 1, Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa.

Majlis penyampaian anugerah untuk guru terbaik, pelajar terbaik dan dermasiswa itu merupakan projek tahunan RCBSB dan sebagai sebahagian daripada khidmatnya.

Pemangku Presiden RCBSB, PP Jeff dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan betapa penting para guru.

“Kajian menunjukkan guru-guru mempunyai kesan yang besar dalam berapa banyak pelajar pelajari. Pelajar yang mendapat guru-guru terbaik belajar banyak, dan pelajar yang mendapatkan guru paling teruk akan ketinggalan.

“Kualiti guru adalah sangat penting di mana pelajar mungkin lebih baik di sekolah yang tidak baik dengan guru yang baik daripada di sekolah yang baik dengan guru yang tidak baik. Anda boleh mencari guru-guru tidak efektif di sekolah-sekolah yang baik dan guru yang efektif di sekolah-sekolah yang tidak baik. Tetapi sekolah-sekolah yang bermasalah biasanya mempunyai banyak guru yang tidak efektif dan tidak berpengalaman,” jelas beliau lagi.

Gambar ramai warga RCBSB bersama para penerima.
Gambar ramai warga RCBSB bersama para penerima.

PP Jeff menyatakan harapan agar para pelajar dapat mengambil contoh daripada guru-guru terbaik dari setiap sekolah tersebut dan menjadi inspirasi serta contoh kepada rakan-rakan mereka.

Menurut beliau, setiap tahun RCBSB mengumpulkan wang hasil daripada kejohanan golf mereka, oleh itu, beliau juga berharap para pelajar yang diberikan dermasiswa memberi tumpuan terhadap pelajaran dan belajar bersungguh-sungguh.

“Jika keputusan akhir tahun anda telah menunjukkan tanda peningkatan maka kami tidak akan teragak-agak untuk terus menyokong yuran sekolah anda selagi anda memenuhi kriteria kami.”

Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah guru terbaik kepada Dayang Yasmin Iqbal dari Sekolah St. Andrew, Binoy Sebastian dari Sekolah St. George dan Fang Wei Ping dari Sekolah Menengah Chung Hwa.

Selain itu, penyampaian anugerah juga diberikan kepada pelajar terbaik, antaranya Hanson Chin Heearn dari Sekolah St. Andrews, Alexandra Jacklya binti Kadius dari Sekolah St. George dan Ivy Wong Ker Hsing dari Sekolah Menengah Chung Hwa.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah dermasiswa kepada Doressa Chua Lee Ying, Wong Pei Zhi, Evan Kuai Weng Lei, Jestica Danial, Ong Yong Herng, Rinoa Vun Hui Jun, Teo Ai Wei @ Teo Kui Yi, dan Lawrance Ieong Poh Seng dari Sekolah St. Andrew.

Para penerima dermasiswa dari Sekolah Menengah Chung Hwa pula ialah Dorothy Tiong Jing Min, Kiing Sii Siing, Marving Tang Zhi Hao dan Ting Hui Hui.

Dua lagi pelajar ialah Mah Hui Shan dari Maktab Duli dan Leslie Chieng Yew Loong dari Universiti Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA