RCEP baik jika bermanfaat untuk perniagaan ASEAN

RCEP baik jika bermanfaat untuk perniagaan ASEAN

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) – Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) hanya boleh menjadi kaedah yang baik bagi anggota ASEAN sekiranya ia dapat menyediakan manfaat besar kepada perniagaan, menurut Pakar Ekonomi daripada Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Dr Lili Yan Ing.

Beliau berkata sektor perkhidmatan perlu menjadi tumpuan utama kerana ia boleh merangsang pelaburan bagi logistik, kewangan dan telekomunikasi.

“Pada masa yang sama, RCEP juga harus memasukkan perjanjian yang boleh menjamin tahap kepastian bagi perniagaan dari segi perlindungan, komitmen liberalisasi dan menyediakan kemudahan dan penggalakan barangan dan pelaburan di setiap negara.

“Itu adalah perkara utama yang harus dimasukkan ke dalam RCEP. Jika tidak, ia hanya akan menjadi satu lagi perjanjian perdagangan bebas tanpa manfaat besar bagi semua negara,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan laporan bertajuk ‘RCEP Impact on East Asia Investment’ (Impak RCEP ke atas Pelaburan Asia Timur), di sini, hari ini, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-47.

Pakar Ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur, Dr Lili Yan Ing.
Pakar Ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur, Dr Lili Yan Ing.

Sesi itu bertujuan untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada perniagaan kemajuan perjanjian RCEP dan manfaatnya kepada komuniti perniagaan.

Bagaimanapun, Yan berkata halangan utama untuk menubuhkan RCEP termasuklah hakikat bahawa anggota ASEAN tidak mempunyai perjanjian pelaburan dengan negara-negara lain.

RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara negara-negara ASEAN dan rakan FTA dan anggotanya terdiri dari ASEAN, Australia, New Zealand, China, Jepun, Korea Selatan dan India. Perniagaan yang beroperasi di ASEAN boleh menikmati kadar keutamaan

dengan menggunakan pengumpulan serantau anggota RCEP, sebagai contoh, menggunakan import dari China, menghasilkannya di ASEAN dan mengeksport ke India, Australia atau ahli RCEP lain.

ARTIKEL YANG SAMA