RCP dimulakan hujung bulan ini di Tawau

SANDAKAN, 13 Mac – Pelaksanaan pusat pemeriksaan darat atau Road Check Point (RCP) akan dimulakan pada hujung bulan ini di Jalan Kalabakan Tawau bagi meningkatkan tindakan mengekang aktiviti jenayah di timur negeri ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) DCP Datuk Hazani Ghazali berkata selepas itu, RCP akan dilaksanakan di Jalan Telupid di Telupid.

Katanya pemilihan kedua-dua lokasi sebagai pelaksanaan RCP secara tetap berikutan jalan tersebut menjadi penghubung utama antara pantai timur dan pantai barat negeri ini.

“Pada masa sama, sejajar dengan usaha meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), pihak kami juga sedang mengkaji pewujudan pos kawalan yang baharu,” katanya pada sesi dialog sempena Majlis Makan Malam ESSCom bersama Media di sini, malam tadi.

Katanya kajian dilakukan bagi mengenal pasti keberkesanan pewujudan pos kawalan baharu itu di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebelum dikemukakan kepada pihak atasan.

Menurutnya ia juga membabitkan kemas kini pos kawalan sedia ada.

Terdahulu dalam ucapannya, Hazani meminta media memainkan peranan membantu ESSCom menyiarkan berita yang sahih agar tidak menjejaskan siasatan yang dijalankan.

Katanya berita yang disiarkan perlu mengikut kenyataan dikeluarkan dan perlu mendapatkan pengesahan daripada pihaknya. Dia memberi contoh kejadian tiga penjenayah ditembak mati di Kalabakan pada 27 Februari lepas, terdapat laporan media menyatakan identiti suspek, akibat pendedahan itu, siasatan dan operasi susulan kes itu terbantut.

“Saya tiada menyatakan siapa suspek kerana siasatan kes itu tidak berakhir di situ. Kita mesti mengesan konco-konco yang terlibat selepas itu,” katanya. – Bernama