Readymix rai ulang tahun ke-30

Readymix rai ulang tahun ke-30

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, pengeluar dan pembekal utama konkrit di Brunei, memperingati ulang tahunnya yang ke-30 di negara ini dengan melancarkan buku bergambar bertajuk ‘Celebrating 30 Years’.

Pelancaran buku berkenaan telah diadakan pada majlis yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah rakan kongsi tempatan dan pengarah syarikat, Pengiran Anak Haji Ja’afar. Buku berkenaan mempamerkan sejarah Readymix di Brunei dan mengetengahkan kebanyakan projek-projek yang telah dibina dengan konkrit yang dibekalkan oleh Readymix.

Ketua Pegawai Eksekutif Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, Nicholas Cocks, dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Hari ini merupakan satu pencapaian mengagumkan dalam perkembangan syarikat kita.

“Kami memberi penghormatan kepada pengasas, pasukan Readymix dan pembekal kami serta pelanggan atas semua yang telah mereka lakukan untuk menyumbang kepada kejayaan besar ini,” tambahnya.

Pengiran Anak Haji Ja’afar (empat, kanan) hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan.
Pengiran Anak Haji Ja’afar (empat, kanan) hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan.
Nicholas Cocks ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Nicholas Cocks ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Buku yang mempunyai 168 muka surat tersebut memaparkan gambar-gambar berwarna bangunan terkemuka di Brunei, termasuk The Empire Hotel & Country Club, iaitu tempat buku berkenaan dilancarkan.

Bangunan lain termasuklah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, bangunan dan kompleks Kementerian Kewangan, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Kompleks Brunei Methanol, bangunan baru Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei dan pelbagai lagi.

Mengulas mengenai buku ini, Nicholas Cocks berkata, “apabila anda membelek buku tersebut, anda akan melihat bukan sahaja sejarah 30 tahun syarikat kami, tetapi juga sejarah perkembangan negara, dirakam melalui gambar-gambar indah beberapa bangunan Brunei yang paling ikonik, semuanya dibina dengan konkrit yang dibekalkan oleh Readymix”.

Dalam pada itu, beliau juga menyebut tentang sokongan kukuh kerajaan ke atas syarikat itu selama ini.

“Sebagai pengunjung di Brunei, kami sentiasa berasa dialu-alukan, disokong dan difahami, dengan kesamarataan bagi menjalankan kerja-kerja kami.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk hubungan kerja dalam pembinaan yang lebih 30 tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, dalam temu bual bersama Media Permata, Nicholas Cocks menjelaskan harapan beliau untuk memperoleh kejayaan dalam tempoh 30 tahun akan datang seperti 30 tahun yang lepas.

“Kami berharap tempoh 30 tahun akan datang memperolehi kejayaan dan keseronokan seperti 30 tahun yang lalu. Kami gembira sepanjang berada di sini. Brunei adalah tempat yang sesuai untuk menjalankan perniagaan sebagai pelabur asing,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai buku ‘Celebrating 30 Years’, Nicholas berkata konsep buku berkenaan pada awalnya adalah mengenai sejarah syarikat mereka, akan tetapi telah diubah suai.

“Konsep asal adalah untuk menceritakan sejarah syarikat kami, dan kemudian apabila kami mengumpul projek-projek yang ada bersama-sama, kami menyedari bahawa sejarah syarikat kami dan projek yang kami bekalkan adalah secara tidak langsung merupakan sejarah Brunei sendiri kerana projek-projek kami dan bangunan-bangunan yang kami bina selama bertahun-tahun membentuk latar langit Negara Brunei Darussalam.

“Jadi kami membuat keputusan bahawa dalam buku ini kami menampilkan kebanyakan projek-projek yang telah kami bekalkan bahan-bahannya, dan anda akan melihat dalam buku berkenaan, saya rasa dalam 60-70 peratus daripada buku tersebut, khusus untuk semua projek yang dibahagikan kepada tiga dekad.”

Beliau juga menyatakan bahawa mereka mempunyai lebih daripada 100 kakitangan dan hampir 50 peratus daripadanya adalah kakitangan tempatan dan beliau berasa amat bernasib baik kerana mempunyai pasukan berkenaan, selain menyentuh mengenai keprihatinan beliau terhadap keselamatan.

Beliau turut menekankan mengenai komitmen syarikat terdapat kebajikan serta kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), yang menurutnya mereka menyimpan rekod terperinci mengenai statistik keselamatan syarikat.

“Dalam masa beberapa bulan lagi akan menjadi dua tahun sejak kami mempunyai kemalangan di syarikat kami, di mana dalam industry pembinaan dengan tiada kecederaan (Loss Time Injury – LTI) selama dua tahun adalah satu pencapaian yang besar,” tambahnya.

Salinan/Naskah terhad buku ini boleh didapati secara percuma di Pejabat Readymix di No.3B, Tingkat 1, Bangunan Sri Nor, Simpang 158, Jalan Pengiran Babu Raja, Kampung Kiarong, atau menghubungi mereka di talian 2650032.