Reaktor akan beroperasi

Reaktor akan beroperasi

TOKYO, 7 Julai (AFP) – Bahan api nuklear sedang dimasukkan ke dalam reaktor di selatan Jepun hari ini tatkala operatornya bersedia untuk memulakan operasi meskipun mendapat tentangan orang awam terhadap teknologi tersebut.

Reaktor itu dijangka menjadi yang pertama beroperasi selepas terhenti selama dua tahun di Jepun ekoran bencana yang dicetuskan oleh tsunami di Fukushima.

Kyushu Electric Power berkata ia menerima lampu hijau untuk mengisi bahan api untuk reaktor di kilang Sendai ekoran satu pemeriksaan pada minggu lalu.

Ia akan mengambil masa kira-kira empat hari untuk mengisi kesemua 157 batang bahan api, satu persatu, kata seorang jurucakap.

Reaktor seterusnya akan menjalani pemeriksaan satu bulan sebelum ia dibuka sekali lagi pada Ogos.

Sekumpulan 120 orang berkumpul di depan kilang tenaga untuk membantah pelancaran kilang, lapor TV Asahi.

“Kemalangan mungkin berlaku. Kerajaan berkata tidak adanya kejadian kemalangan di Fukushima, tetapi kami sudah berdepan bencana,” beritahu seorang wanita kepada media tempatan.

Seluruh reaktor Jepun – yang satu ketika dahulu membekalkan satu perempat daripada elektrik negara – dimatikan secara beransur-ansur selepas kemalangan di Fukushima pada 2011, apabila reaktor melebur selepas sistem penyejuk mereka dibanjiri.

Kerajaan Perdana Menteri Shinzo Abe berminat untuk meneruskan operasi mereka, seperti yang diingini oleh syarikat tenaga yang memiliki mereka, bosan kerana terpaksa menebus kehilangan kapasiti penghasilan dengan bahan api fosil yang mahal.

Operasi di Sendai dihenti dua bulan selepas bencana dan batang bahan api dikeluarkan pada 2013, menurut utiliti.

ARTIKEL YANG SAMA