Reaktor nuklear Pyongyang masih beroperasi – ISIS

Reaktor nuklear Pyongyang masih beroperasi – ISIS

SEOUL, 30 April – Imej satelit reaktor nuklear Korea Utara yang dilihat baru-baru ini menunjukkan ia merupakan sumber utama plutonium gred senjata yang mungkin sudah menyambung semula penyediaan tenaga rendah atau operasi sekali-sekala, menurut badan pemikir Amerika Syarikat hari ini.

Tahun lepas, Institut Sains dan Keselamatan Antarabangsa (ISIS) yang berpangkalan di Washington berkata reaktor lima megawatt di kompleks nuklear Yongbyon di Korea Utara kelihatannya sudah ditutup – kemungkinan untuk kerja-kerja pembaikan.

Bagaimanapun gambar satelit yang dirakam sepanjang musim sejuk menunjukkan beberapa “petanda” aktiviti paras rendah, termasuk bentuk pencairan salji di bumbung reaktor dan bangunan turbin, kata ISIS dalam analisis terbaru.

Badan pemikir itu turut memberi fokus ke atas imej aliran air hangat di anak sungai yang keluar dari saluran paip reaktor, selain apa yang kelihatannya seperti wap yang muncul dari bangunan turbin.

Sementara imej-imej terbabit “tidak menunjukkan bukti jelas bahawa reaktor tersebut menyambung semula operasi tenaga sepenuhnya,” ISIS berkata mereka turut beranggapan reaktor “mungkin beroperasi pada paras tenaga rendah atau operasi sekali-sekala.”

Korea Utara mula membina reaktor Yongbyon pada 2007 di bawah perjanjian bantuan bagi pelucutan senjata, tetapi mula membaik pulih selepas ujian nuklear terakhir pada 2013. – AFP