Real benam Roma

Real benam Roma

ROM, 18 Feb (AFP) – Cristiano Ronaldo meledak gol ke-89 miliknya dalam Liga Juara-Juara Eropah manakala pemain gantian babak kedua, Jese menyumbat gol kedua Real Madrid untuk membenam Roma 2-0 dalam aksi pertama 16 pasukan terakhir di Stadium Olimpik, semalam.

Kemenangan ini memberi laluan selesa kepada Real untuk menempah tiket ke suku akhir pada perlawanan kedua nanti di Madrid dan juga misi membalas dendam mereka tercapai apabila tewas 2-1 kepada Roma dalam saingan sama pada 2008.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dengan Roma menguasai asakan namun hampa dengan penyudah gol, giliran Ronaldo memecah jaringan pada minit ke-57 selepas mendapat hantaran Marcelo.

Lima minit sebelum tamat permainan ketika 55,612 penyokong tuam rumah mula meninggalkan bangku stadium, sepakan deras Jese membocori gawang untuk memberikan gol kedua kepada pasukan pelawat.

Pengurus Real, Zinedine Zidane, bagaimanapun mahu pasukannya jangan terlalu awal berpuas hati untuk pertemuan kedua di Santiago Bernabeu, tiga minggu lagi.

Ronaldo meraikan jaringan bersama pemain pertahanan Sergio Ramos dan jurulatih mereka Zinedine Zidane semasa perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang AS Roma, kelmarin. – AFP
Ronaldo meraikan jaringan bersama pemain pertahanan Sergio Ramos dan jurulatih mereka Zinedine Zidane semasa perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang AS Roma, kelmarin. – AFP

“Kami amat gembira kerana kemenangan ini yang tentunya bukan mudah di sini namun harus diingat kita belum mara lagi.

“Kami masih mempunyai perlawanan kedua,” kata bekas bintang Perancis itu yang pernah membantu Carlo Ancelotti ketika Real mendakap trofi ke-10 kejuaraan pada 2014.

Sementara itu, jurulatih Roma, Luciano Spalletti melahirkan rasa kecewa di atas kegagalan anak buahnya menyempurnakan beberapa peluang yang hadir dalam kotak penalti pasukan lawan.

“Kami memiliki begitu banyak peluang dan saya kecewa kerana kami gagal menjaringkan gol,” kata Spalletti yang menjadi pengurus semasa Roma menumbangkan Madrid pada 2008.

“Pemain saya sudah memberikan segala-galanya dan bermain dengan baik, cuma kami tidak dapat menjaringkan gol. Dan bila anda memberi sedikit ruang kepada Ronaldo, dia pastinya akan meledak gol.”

ARTIKEL YANG SAMA