Real Betis tewaskan Valencia 3-2

Real Betis tewaskan Valencia 3-2

BARCELONA, 12 Sept – Permulaan buruk Valencia dalam kempen La Liga berterusan selepas tewas 3-2 kepada Real Betis yang turut menamatkan penantian tiga dekad kelab itu untuk mencatat kemenangan di laman lawan, Stadium Mestalla.

Gandingan pemain veteran Betis, Ruben Castro dan Joaquin Sanchez yang masing-masing berumur 35 menjaringkan ketiga-tiga gol terbabit ketika Valencia menamatkan permainan dengan 10 pemain sekali gus mengecewakan ribuan penyokong sendiri menerusi persembahan longlai.

Kekalahan menyaksikan peminat-peminat setia Valencia kini memperoleh satu lagi alasan untuk berang selepas kelab itu mencatat kekalahan ketiga dalam La Liga kini berada di zon penyingkiran.

“Ia sukar. Kami memburu kemenangan dan menamatkan perlawanan dengan kekalahan,” kata pengurus Valencia, Pako Ayestaran. “Dalam situasi seperti ini, perkara yang normal ialah berputus asa, namun kami tetap meneruskannya.”

Antara aksi dalam perlawanan tersebut. – AFP
Antara aksi dalam perlawanan tersebut. – AFP

Castro mengesahkan kemenangan Betis pada masa kecederaan ketika Valencia terpaksa bergelut beraksi kurang seorang pemain selepas Enzo Perez diarah keluar padang pada minit ke-50.

Di sebalik kurang pemain, Rodrigo Moreno dan pemain baru, Ezequiel Garay menjaringkan gol penyamaan 2-2 buat Valencia di penghujung pemainan sebelum Castro menjadi pemusnah.

“Ia nampak seperti kami akan menang mudah. Kurang pemain dan ketinggalan dengan dua gol? Kami tidak boleh membenarkan mereka bangkit seperti itu,” kata Castro.

“Kami berusaha sebaik mungkin dan pada penamatnya, meraih kemenangan yang penting.”

Kali terakhir Betis mencatat kemenangan ke atas Valencia pada aksi La Liga ialah 1986. – AFP