Real enggan jual Benzema

Real enggan jual Benzema

MADRID, 5 Ogos (Agensi) – Pemain sasaran Arsenal, Karim Benzema dijangka akan terus kekal bersama Real Madrid musim ini selepas jurulatihnya, Rafael Benitez mendedahkan bahawa penyerang itu tidak akan dijual dan beliau juga enggan membincangkan mengenai isu perpindahan David de Gea.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mendakwa The Gunners menyasarkan Benzema dan Arsenal percaya pemain kebangsaan Perancis itu berminat untuk menyarung jersi pasukan tersebut.

“Saya fikir Benzema akan terus kekal bersama kami. Saya tiada apa-apa masalah dengannya, dia juga tidak ada sebab untuk tinggalkan kelab ini,” kata Benitez.

Bekas pengendali Liverpool itu juga percaya beberapa muka baharu akan dibawa masuk ke Santiago Bernabeu bagi menguatkan pasukan tersebut walaupun enggan mengulas kemungkinan menandatangani de Gea daripada Manchester United.

Benzema dijangka kekal bersama Real Madrid untuk musim ini. – Reuters
Benzema dijangka kekal bersama Real Madrid untuk musim ini. – Reuters

“Madrid sudah dapatkan beberapa pemain sebelum ini dan kami memiliki skuad yang mantap, namun saya mahu kukuhkan lagi pasukan ini untuk menjadi lebih kompetitif.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pemain pasukan lain, kami sudah miliki penjaga gol hebat seperti Keylor Navas dan Kiko Casilla,” ujar Benitez lagi.

Benitez juga percaya pemain bintangnya, Gareth Bale akan bangkit daripada prestasi hambarnya pada musim lepas, sekali gus mampu menjadi pemain utama buat Los Blancos musim baharu nanti.

“Gareth (Bale) seorang pemain yang penting untuk pasukan. Saya tahu dia mahu pamerkan aksi yang menarik, dia akan bangkit dan peragakan prestasi mantap musim ini,” tambah pengendali dari Sepanyol itu.