Real hampiri Barca

Real hampiri Barca

BARCELONA, 17 April (Reuters) – Kemenangan Real Madrid 5-1 ke atas Getafe kini meletakkan mereka di tangga kedua liga dan hanya dibezakan dengan satu mata di belakang pendahulu liga Barcelona dalam perlawanan yang berlangsung di pihak lawan, awal pagi tadi.

Kesemua pemain yang menjana barisan depan Real, Karim Benzema, Isco, Gareth Bale, James Rodriguez dan Cristiano Ronaldo meledak gol untuk membantu Galaticos mengumpul 75 mata sekali gus mendaki kedudukan kedua mengatasi musuh setempat, Atletico Madrid.

Kedua-dua pencabar utama trofi La Liga itu, Atletico dan Barcelona kurang beraksi satu perlawanan dan dijadual bertemu Granada dan Valencia, hari ini.

Benzema membuka tirai jaringan buat Real pada minit ke-29 selepas mudah menampan bola dari dalam kotak penalti sebelum penyerang kontroversi Perancis itu menjadi perancang utama kepada gol kedua pelawat selepas hantarannya kepada Isco pada minit ke-40 tidak disia-siakan.

Penyerang Wales, Bale menjadikan kedudukan 3-0 lima minit selepas babak kedua bermula yang menambah jumlah jaringannya musim ini kepada 16, terbaik baginya sejak berhijrah ke Madrid pada 2013.

Cristiano Ronaldo dalam salah satu aksinya pada perlawanan tersebut. – AP
Cristiano Ronaldo dalam salah satu aksinya pada perlawanan tersebut. – AP

Enam minit sebelum permainan tamat, Pablo Sarabia menjaringkan gol buat Getafe namun ia tidak menghalang Real dari terus mengganas dengan Rodriguez meledak gol keempat diikuti Ronaldo pada masa kecederaan.

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane yang mengatakan pemburuan kejuaraan sudah berakhir pada Februari lalu jelas gembira dengan kemenangan itu dan fikirannya sudah mula optimis mengenai peluang Real.

“Saya fikir kami mempunyai peluang yang baik untuk memenangi liga kerana kami sentiasa semakin hampir,” kata Zidane kepada wartawan.

“Saya percaya ia tidak mustahil dan menentang Getafe kami membuktikan daripada awal yang kami mahu semuanya dibuat dengan cara yang betul. Kami bermain perlawanan yang menakjubkan, namun kami perlu meneruskan kerana kami masih belum mencapai apa-apa lagi,” katanya.

Sementara itu, Sporting Gijon kekal di zon penyingkiran sekali pun berjaya menamatkan tiga kemenangan berturut-turut Las Palmas untuk seri 1-1 manakala Real Sociedad gagal meneruskan rentak cemerlang ketika menewaskan Barca, minggu lalu selepas tumbang kepada Eibar 2-1.