Real julang Piala Juara–Juara

Real julang Piala Juara–Juara

SHANGHAI, 31 Julai (AFP) – Kesilapan penjaga gol simpanan AC Milan yang berusia 16 tahun, membolehkan Real Madrid memenangi sepakan penalti 10-9 dalam perlawanan di Shanghai semalam.

Sepakan penentuan tersebut susulan perlawanan yang berkesudahan seri 0-0 selepas 90 minit dan kemenangan berpihak kepada Real Madrid di China dalam edisi Piala Juara–Juara Antarabangsa.

Kedua-dua penjaga gol pasukan menamatkan persaingan dengan melakukan sepakan penalti selepas kedudukan masih terikat selepas semua pemain menyempurnakan sepakan.

Penjaga gol Madrid, Kiko Casilla dengan yakin melangkah untuk menyempurnakan sepakan sebelum menewaskan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma untuk meletakkan pasukannya di depan dengan 10-9.

Kedua-dua penjaga gol tersebut kemudian bertukar–tukar posisi dengan Donnarumma perlu menjaringkan gol untuk mengekalkan AC Milan dalam persaingan, tetapi pemain muda dari Itali itu melepaskan rembatan tepat kepada Casilla yang mudah menyelamatkannya untuk memberikan kemenangan kepada kelab Sepanyol tersebut.

Pemain Real Madrid meraikan kejayaan merangkul Piala Juara-Juara Antarabangsa setelah mengalahkan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti di Shanghai semalam. - AFP
Pemain Real Madrid meraikan kejayaan merangkul Piala Juara-Juara Antarabangsa setelah mengalahkan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti di Shanghai semalam. – AFP

Kemuncak persaingan adalah perlawanan yang mengecewakan bagi kedua-dua pasukan yang hampir menjaringkan gol.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan pemain yang kuat – Real Madrid bermula dengan dua pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale – tetapi hanya sedikit aksi menarik di depan hampir 60,000 penonton di Stadium Shanghai

Permainan nampak biasa-biasa sehingga minit ke-39 Real Madrid diuji penyerang AC Milan M’Baye Niang yang membuat larian berbahaya ke dalam kotak penalti tetapi bertembung bersama Casilla sebelum dapat melepaskan rembatan.

Pada minit pertama separuh masa kedua Niang kemudian memaksa penyelamat klasik dari Casilla dengan rembatan kencang dari sudut kanan.