Real kelab terakhir Ronaldo

Real kelab terakhir Ronaldo

DUBAI, 28 Dis – Real Madrid akan kekal sebagai kelab terakhir penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo, kata ejen pemenang tiga kali anugerah Ballon d’Or itu, Jorge Mendes.

Kenyataan Mendes itu sebagai tindak balas terhadap spekulasi perpindahan yang mengaitkan penyerang kelahiran Portugal itu, beberapa bulan lalu dan terbaru ke Perancis.

Khabar angin terbaru berkenaan meletus selepas mesin gol Real itu dilaporkan berkata kepada pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Laurent Blanc betapa dia ‘suka’ bermain di bawah skuad kendaliannya.

Akhbar Perancis, Le Parisien mendakwanya berkata: “Pasukan kamu bermain dengan amat baik,” katanya selepas kemenangan 1-0 Real ke atas PSG pada kempen Liga Juara-Juara Eropah, November lalu.

Begitupun, Mendes yang menerima anugerah pada majlis Anugerah Bola Sepak Global, di sini bercakap dengan nada tegas Ronaldo akan kekal dalam kancah La Liga bersama Real.

Jorge Mendes ejen Ronaldo menerima anugerah ejen bola sepak terbaik ketika Majlis Globe Soccer Awards di Dubai kelmarin. – Reuters
Jorge Mendes ejen Ronaldo menerima anugerah ejen bola sepak terbaik ketika Majlis Globe Soccer Awards di Dubai kelmarin. – Reuters

“Dia pemain terbaik sepanjang zaman,” kata Mendes kepada Sky Sports. “Saya yakin dia akan bermain untuk tempoh empat, lima, enam, tujuh tahun di Real Madrid. Dia akan menamatkan kariernya di sana.

“Dia gembira bersama Los Blancos. Dia akan menggantung but apabila dia berusia 40 tahun.”

Ronaldo yang meledak dua gol ketika Real membelasah Rayo Vallecano 10-2 di Santiago Bernabeu, minggu lalu ketika ini sedang bercuti di Amerika Syarikat. – Agensi