Real kembali ke landasan

Real kembali ke landasan

MADRID, 1 Dis (AFP) – Walaupun mempamerkan aksi longlai, Real Madrid kembali ke landasan memburu kejuaraan La Liga Sepanyol apabila jaringan Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo memberikan kemenangan 2-0 ke atas Eibar, kelmarin.

Di depan 6,000 penyokong di Ipurua, Madrid tidak banyak berubah berbanding ketika dibelasah 4-0 oleh Barcelona minggu lalu tetapi tandukan Bale pada babak pertama serta penalti yang disempurnakan Ronaldo pada hujung permainan sudah cukup untuk mereka mengumpul tiga mata. Madrid kekal di tangga ketiga La Liga tetapi kemenangan itu membolehkan anak buah Rafael Benitez kembali ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Barca dan dua mata di belakang pasukan tangga kedua, Atletico Madrid.

“Perkara paling penting ialah mendapat tiga mata dan kami melakukannya dengan sepenuh hati,” kata pengurus Madrid Benitez.

“Peminat tahu apa yang penting ialah pemain berkualiti harus bermain dengan kualiti mereka.

“Itulah faktor utama yang diperlukan jika kami mahu terus cemerlang.”

Cristiano Ronaldo ketika beraksi dalam perlawanan menentang Eibar. – Reuters
Cristiano Ronaldo ketika beraksi dalam perlawanan menentang Eibar. – Reuters

Eibar terus mempamer aksi baik sepanjang musim kedua di La Liga tetapi kekalahan di tangan Barcelona dan Atletico sebelum ini mengakibatkan mereka semakin kehilangan kualiti untuk menyaingi Madrid.

Sementara itu, jurulatih Valencia Nuno Espirito Santo mengesahkan kekalahan 0-1 anak buahnya di Sevilla adalah aksi terakhirnya bersama kelab itu.

Sergio Escudero menjaringkan gol kemenangan apabila menerima hantaran lintang Ever Banega pada babak kedua.

Pada perlawanan lain, Aritz Aduriz muncul penyerang Sepanyol pertama menjaringkan 20 gol semusim sebelum Disember apabila meledak hatrik ketika kemenangan 3-0 Athletic Bilbao ke atas Rayo Vallecano.

ARTIKEL YANG SAMA