Real lepas geram

Real lepas geram

MADRID, 6 Dis – Real Madrid kembali bangkit daripada penyingkiran memalukan dalam saingan Copa del Rey gara-gara menurunkan pemain dalam penggantungan pertengahan minggu ini untuk menumbangkan Getafe 4-1, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, mereka masih ketinggalan dua mata di belakang Atletico Madrid di tempat ketiga La Liga selepas gol daripada Diego Godin dan Antoine Griezmann menghadiahkan skuad kendalian Diego Simeone kemenangan 2-0 ke atas Granada.

Karim Benzema kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama dan menjaringkan dua gol pertamanya sejak berdepan dengan skandal membabitkan rakan sepasukan Perancis Mathieu Valbuena dalam tempoh 16 minit.

Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo kemudian menjadikan 4-0 sebelum separuh masa pertama sementara Alexis menjaringkan gol sagu hati buat Getafe, 21 minit sebelum tamat perlawanan.

Cristiano Ronaldo ketika meledakkan tendangan pada perlawanan tersebut. - AFP
Cristiano Ronaldo ketika meledakkan tendangan pada perlawanan tersebut. – AFP

Kemenangan itu mengecilkan jurang di antara Real dan Barcelona di persada liga kepada empat mata selepas mereka terikat 1-1 dengan Valencia.

Benzema, Bale dan Ronaldo turun beraksi bersama buat kali keempat musim ini dan seperti awal musim ketika membelasah Real Betis dan Espanyol, kehadiran mereka ternyata menambah sengat Real.

“Untuk mendapat tiga mata dengan tiga pemain penting itu bermain baik di babak pertama, mereka jelas berjaya memusnahkan pertahanan lawan,” kata bos Real, Rafael Benitez.

“Hakikatnya Benzema menyumbat dua gol dan memberi sumbangan yang banyak ketika pasukan bergerak ke depan sekali gus memperkukuhkan apa yang saya perkatakan sebelum ini betapa dia adalah tonggak penting pasukan.” – AFP