Real Madrid alami kekalahan pertama

Real Madrid alami kekalahan pertama

MADRID, 9 Nov (AFP) – Real Madrid mengalami kekalahan pertamanya musim ini selepas dikejutkan Sevilla 3-2 pada saingan La Liga Sepanyol di Sevilla, semalam.

Skuad bimbingan Rafael Benitez kini ketinggalan tiga mata kepada pendahulu liga Barcelona dan ini menjadikan pertembungan kedua-dua gergasi ini dalam masa dua minggu ini amat menarik.

Barca pula menang selesa 3-0 ke atas Villarreal dengan dua daripada gol itu diledakkan bintang Brazil, Neymar.

Real yang bertandang di Sevilla membuka tirai jaringan awal menerusi tandukan Sergio Ramos pada minit ke-22 namun Ciro Immobile menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu. Ketika kedudukan 1-1 masuk separuh masa kedua, Sevilla menggandakan asakan dan memperoleh gol menerusi Ever Banega pada minit ke-61 manakala Fernando Llorente menambah keselesaan tuan rumah untuk gol ketiga pada minit ke-75.

Pemain Sevilla, Fernando Llorente (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan menentang Real Madrid dalam perlawanan La Liga di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, di Sevilla, Sepanyol pada 8 November 2015.
Pemain Sevilla, Fernando Llorente (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan menentang Real Madrid dalam perlawanan La Liga di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, di Sevilla, Sepanyol pada 8 November 2015.

Real cuba bangkit dan memperoleh gol keduanya menerusi James Rodriguez pada minit terakhir permainan namun ia sudah terlambat untuk membawa pulang sebarang mata.

“Sepatutnya pada separuh masa pertama lagi kita sudah menamatkan perlawanan namun kita gagal,” kata Benitez.

“Kami memberikan mereka ruang untuk menjaringkan gol (penyamaan) manakala separuh masa kedua kami mula melakukan banyak kesilapan,” kata bekas pengurus Liverpool itu.

Kehadiran Gareth Bale selepas tiga minggu direhatkan kerana kecederaan gagal membantu apabila pemain dari Wales itu kurang menyengat.