Real Madrid bantu pelarian

Real Madrid bantu pelarian

MADRID, 6 Sept (AFP) – Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid akan menyumbangkan 1 juta euro sebagai bantuan kepada projek-projek sokongan bagi pelarian di Sepanyol, umum kelab itu, semalam.

“Real Madrid memutuskan untuk menyumbangkan 1 juta euro untuk membantu mangsa pelarian yang akan ditempatkan di Sepanyol,” kata kenyataan itu.

“Setia untuk terus menyumbang kepada projek amal, kelab ini mengambil keputusan dengan objektif untuk membantu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana melarikan diri daripada perang dan kematian.”

Awal minggu ini, Real mengumumkan pulangan kelab itu mencecah rekod 660.6 juta euro, musim lalu.

Kelab itu juga akan menyediakan kit sukan kepada pelarian kanak-kanak dan menyediakan beberapa kemudahan mereka untuk digunakan dengan tujuan memberi maksud mereka dialu-alukan ke Sepanyol.

Tindakan Real adalah salah satu reaksi daripada badan induk sukan di seluruh dunia terhadap krisis yang melanda seluruh Eropah.

Kelab Jerman, Bayern Munich, semalam berkata mereka juga akan menyumbangkan 1 juta euro dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Munich untuk menubuhkan kem latihan kepada kanak-kanak yang akan menerima pelajaran Jerman, makanan dan kit bola sepak.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) juga berjanji untuk menderma 2 juta dolar AS dalam bentuk dana kecemasan.