Real Madrid bertungkus lumus

MADRID, 11 Jan – Real Madrid menurunkan pemain yang hampir semuanya tidak dikenali dan bergelut untuk mara ke suku akhir Copa del Rey semalam selepas memperolehi keputusan 2-2 menentang kelab divisyen kedua Numancia.

Walaupun mendahului dua kosong dalam perlawanan pertama, pengurus Zinedine Zidane menggunakan peluang untuk merehatkan sebahagian besar pemain bintangnya untuk saingan La Liga, di mana gergasi Sepanyol itu ketinggalan 16 mata di belakang Barcelona dan pertembungan Liga Juara-juara peringkat 16 dengan Paris Saint-Germain bulan depan.

Walau bagaimanapun, aksi Real tidak menyakinkan di Bernabeu.

Lucas Vazquez menjaringkan kedua-dua gol untuk Real semalam pada minit ke-11 dan 59.

Tetapi pasukan lawan bangkit kembali menerusi jaringan daripada Guillermo sebelum separuh masa pertama dan selepas minit ke-82.

Lucaz Vazquez (kiri) meraikan bersama rakan sepasukan Jose Luiz Fernandez selepas menjaringkan gol pembukaan semasa menentang Numancia semalam. – AP
Zidane semasa menghadiri sesi latihan di Valdebebas Sport City tempoh hari. Semalam Zidane telah mengesahkan bahawa pengurus Perancis itu telah melanjutkan kontrak bersama Real sehingga 2020. – AFP

Numancia mengakhiri perlawanan dengan beraksi 10 pemain selepas ketua pasukan Dani Calvo dilayangkan kad merah.

Sementara itu, Leganes kelab dari Madrid mara ke suku akhir Copa del Rey buat pertama kalinya dalam tempoh 89 tahun kewujudannya.

Walaupun tewas 2-1 kepada Villareal, yang kini menghuni tangga keenam dalam saingan La Liga, Leganes mara dengan kelebihan gol ditempat lawan dalam perlawanan pertama.

Pemain antarabangsa Maghribi, Nabil El Zhar menjaringkan gol penting untuk Leganes.

Dalam perlawanan lain, tempat kedua musim lepas Alaves menewaskan kelab divisyen ketiga Formentera 2-0 dengan agregat 5-1.

Hari ini, juara tiga kali Barcelona akan menerima kunjungan Celta Vigo dimana kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, pengurus Real Madrid Zinedine Zidane semalam mengesahkan bahawa dia telah menandatangani kontrak lanjutan yang mengekalkan pengurus Perancis sehingga 2020.

“Sudah ditandatangani,” kata bintang Perancis itu.

Selepas memulakan aksi yang menarik di Real dengan lapan trofi dari 10, Zidane menghadapi musim sukar.

Pengurus berusia 45 tahun itu menegaskan: “Saya menikmati apa yang saya buat kerana itulah hakikatnya. Saya tidak dapat membayangkan sebagai jurulatih dalam masa dua, tiga tahun kerana perkara itu tidak berlaku begitu sahaja.

Sementara itu, jurulatih Barcelona Ernesto Valverde mengakui walaupun mereka berjaya mendapatkan pemain berprofil tinggi Philippe Countinho, yang belum dapat beraksi dalam tempoh tiga minggu kerana kecederaan paha, karakter pasukannya tidak akan berubah dengan ketibaan pemain Brazil itu.

“Barca akan sentiasa sama,” katanya semalam.

“Kelab sentiasa memiliki peluang untuk terlibat dalam pasaran untuk mendapatkan pemain terbaik. Tetapi pada masa yang sama, Barca akan secara berterusan memberi peluang kepada pemain muda untuk mengekalkan identiti.” – AFP