Real Madrid kecewa lagi

Real Madrid kecewa lagi

DORTMUND, Jerman, 28 Sept – Andre Schuerrle menyelamatkan Borussia Dortmund dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87 bagi memastikan keputusan seri 2-2 menentang Real Madrid sekali gus menafikan kemenangan gergasi Sepanyol itu dalam saingan Liga Juara-Juara di Jerman.

Real hampir memenangi saingan pertama di Dortmund dalam enam percubaan dan keputusan itu bermakna mereka hanya memenangi empat perlawanan dalam 30 perlawanan di tempat lawan menentang kelab Jerman.

Madrid mendahului apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol awal yang ke-95 peribadinya dalam Liga Juara-Juara. Pemain Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang kemudian memperoleh gol penyamaan sejurus sebelum waktu rehat hasil kesilapan Raphael Varane.

Namun pemain antarabangsa Perancis itu berjaya menebus kesilapannya pada babak kedua apabila menjaringkan gol pada minit ke-68 sebelum Dortmund kembali menyamakan mata pada lewat babak kedua.

“Jika anda kembali bangkit dua kali ganda menentang Real Madrid, ia adalah perasaan yang bagus. Ia akan membantu pasukan mencapai kemajuan bersama-sama,” kata Schuerrle yang menyertai permainan daripada bangku simpanan.

Reaksi midfield Dortmund Andre Schuerrle (kiri) selepas menyamakan jaringan semasa menentang Real Madrid di stadium BVB di Dortmund, kelmarin. – AFP
Reaksi midfield Dortmund Andre Schuerrle (kiri) selepas menyamakan jaringan semasa menentang Real Madrid di stadium BVB di Dortmund, kelmarin. – AFP

“Apabila anda bolos tiga minit sebelum perlawanan berakhir, ia adalah menyakitkan terutama sekali selepas pemain berusaha keras,” kata jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane.

Sabtu lalu, Ronaldo kelihatan berang selepas dia digantikan dengan pemain gantian oleh Zidane pada 20 minit terakhir dalam perlawanan seri 2-2 di Las Palmas dalam saingan La Liga.

Dan superstar itu memilih untuk meraikan golnya di Signal Iduna Park dengan rakan sepasukan dari Portugal Fabio Coentrao dan Pepe yang berada di bangku simpanan dengan Zidane di belakang.

Dortmund mendominasi suku jam pertama sebelum jaringan Ronaldo dengan kedua-dua penjaga gol masing-masing menghadapi ujian dalam tempoh lima minit pertama. Sepakan percuma Matthias Ginter dari luar kawasan tersasar dan rembatan kencang Ronaldo dihalang oleh penjaga gol Dortmund Roman Burki.

Sementara itu, Gonzalo Castro menguji gawang penjaga gol Costa Rica Keylor Navas yang membuat penampilan pertama musim ini selepas mengalami kecederaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA