Real Madrid menang besar

Real Madrid menang besar

MADRID, 21 Dis (AFP) – Gareth Bale meledakkan empat gol sekali gus membantu Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Rayo Vallecano yang beraksi dengan sembilan pemain, 10-2 dalam saingan Liga Sepanyol di Santiago Bernabue, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Rafael Benitez kini hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona dan pasukan tangga kedua, Atletico Madrid.

Barcelona bagaimanapun mempunyai baki satu perlawanan kerana tidak beraksi dalam saingan liga minggu ini selepas merekodkan kejuaraan Piala Dunia Kelab 3-0 ke atas River Plate di Jepun.

Ia adalah kali pertama dalam tempoh 55 tahun sebuah pasukan menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Sepanyol tetapi penyokong Real tetap menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Benitez selepas anak buahnya ketinggalan 1-2 pada 12 minit pertama.

Pemain pertahanan Real Madrid Danilo meraikan jaringan pertama buat pasukannya dalam perlawanan itu. – AFP
Pemain pertahanan Real Madrid Danilo meraikan jaringan pertama buat pasukannya dalam perlawanan itu. – AFP

Kad merah pada setengah jam pertama yang dilayangkan kepada Tito dan Raul Baena yang membuka peluang kepada Real untuk bangkit dengan Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol, Karim Benzema meledak hatrik manakala Bale menjaringkan empat gol – terbaik sepanjang bergelar pemain Real.

“Kami melepaskan gol awal tetapi selepas itu pasukan memberikan reaksi yang baik. Saya tidak akan mengadili keputusan pengadil tetapi disebabkan layangan kad merah yang diberikan kepada pemain lawan, pasukan saya melakukan apa yang sepatutnya.

“Mereka beraksi dengan baik dan menjaringkan gol,” kata Benitez.

Presiden Real, Florentino Perez memberikan sokongan penuh kepada Benitez selepas jurulatih itu dikatakan bakal dipecat jika menerima satu lagi kekalahan selepas tewas kepada Villareal 0-1 minggu lalu.

ARTIKEL YANG SAMA