Real Madrid terus langkah kanan

Real Madrid terus langkah kanan

MADRID, 28 Ogos – Ketiadaan Cristiano Ronaldo nyata tidak menjejaskan rentak Real Madrid untuk meneruskan permulaan cemerlang mereka pada musim ini sekali gus merakam kemenangan ke-14 berturut-turut dalam liga apabila menundukkan Celta Vigo 2-1, awal pagi ini.

Alvaro Morata dilihat bakal menghadiahkan tiga mata buat Real Madrid apabila membuka jaringan selepas sejam perlawanan berlangsung, namun Fabian Orellana mengikat kedudukan enam minit kemudian.

Toni Kroos bagaimanapun kembali meletakkan Real di depan ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk memastikan tiga mata buat pendahulu La Liga itu.

Dengan ketiadaan Ronaldo, Gareth Bale dijangka dapat membantu Real Madrid meraih kemenangan selesa selepas membawa Wales mara ke separuh akhir Euro 2016 dan meledak dua gol ketika membenam Real Sociedad 3-0 pada aksi minggu lalu.

Toni Kroos (kiri) meraikan gol beliau bersama rakan sepasukannya semasa perlawanan La Liga antara Real Madrid dan Celta di Stadium  Santiago Bernabeu di Madrid. - AP
Toni Kroos (kiri) meraikan gol beliau bersama rakan sepasukannya semasa perlawanan La Liga antara Real Madrid dan Celta di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid. – AP

Namun, rakan sepasukannya di Tottenham Hotspurs, Luka Modric lebih mencuri tumpuan dengan dua percubaan jarak jauhnya pada separuh masa pertama ditepis Sergio Alvarez sebelum satu lagi rembatannya tersasar melepasi palang.

Celta turun tanpa kelibat dua penjaring terbanyak musim lalu apabila Iago Aspas sekadar memanaskan bangku simpanan dan Nolito menyertai Manchester City.

Morata yang membuat penampilan keduanya selepas pulang daripada tempoh pinjaman di Juventus, tidak mensia-siakan peluang apabila menjaringkan gol pembukaan selepas menolak masuk bola muntah hasil percubaan Marco Asensio.

Selepas gol penyamaan Orellana, Kroos melakukan percubaan dari jarak 21 meter untuk gol kemenangan tuan rumah. – AFP