Real mampu juarai La Liga – Bale

Real mampu juarai La Liga – Bale

BARCELONA, 3 April (AFP) – Bintang Real Madrid, Gareth Bale percaya pasukan itu masih mampu untuk menjuarai Liga Sepanyol, musim ini selepas kembali bangkit bagi menewaskan Barcelona 2-1, awal pagi tadi.

Ia adalah kekalahan pertama Barcelona dalam 40 perlawanan. Real masih ketinggalan tujuh mata di belakang Barcelona sebagai pendahulu dengan berbaki tujuh perlawanan tetapi Bale turut menegaskan ia kemenangan penting bagi meningkatkan tahap keyakinan Los Blancos menjelang aksi bertemu Wolfsburg dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

“Jika kami mahu memenangi liga, inilah perlawanan yang perlu kami menang. Kamu tidak akan tahu, bola sepak sentiasa menjanjikan kejutan apabila kamu tewas dan kamu tidak akan tahu apa yang boleh berlaku.

“Apa yang mereka perlu (Barcelona) adalah beberapa keputusan tidak baik dan kami pula memerlukan beberapa kemenangan untuk berada di landasan tepat.

“Apa yang paling penting hari ini (awal pagi tadi) kami dapat meningkatkan tahap keyakinan bagi menghadapi baki saingan musim ini. Kami akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara yang mana kami memang bersemangat untuk memenanginya,” kata penyerang antarabangsa Wales itu.

Bale meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan pada perlawanan menentang Barcelona. – AFP
Bale meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan pada perlawanan menentang Barcelona. – AFP

Kemenangan itu jelas suntikan terbaik buat Real yang menyaksikan jurulatihnya, Zinedine Zidane memenangi aksi Clasico pertamanya sejak membimbing pasukan berkenaan selepas tewas 0-4 di tangan Barcelona di laman sendiri awal musim ini.

Gol menerusi tandukan Gerard Pique pada awal babak kedua meletakkan Barcelona di depan tetapi Karim Benzema menyamakan kedudukan menerusi serangan balas selepas itu.

Biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kapten, Sergio Ramos dibuang padang tujuh minit sebelum tamat masa sebenar, hantaran lintang Bale disudahkan dengan baik Cristiano Ronaldo untuk memberikan kemenangan buat Real sekali gus membuktikan mereka masih ada peluang untuk menamatkan musim sukar dengan kejayaan.

Real dimalukan apabila tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol kerana menurunkan pemain yang tidak sepatutnya, tetapi Bale merasakan beraksi dalam kejohanan yang kurang berbanding Barcelona membolehkan mereka tampil dengan tahap kecergasan sepenuhnya. – AFP

“Mungkin tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol membantu kami, kami sudah kurang perlawanan. Kami berasa kuat, yakin dan hanya perlu bekerja keras hingga hujung musim,” katanya.