Real masih sokong Benitez

Real masih sokong Benitez

MADRID, 25 Nov (AFP) – Presiden Real Madrid, Florentino Perez menegaskan kelab itu masih menyokong jurulatih Rafa Benitez meskipun mengalami kekalahan mengaibkan kepada Barcelona, hujung minggu lalu.

Perez menyatakan sokongan penuh kepada Benitez itu dalam satu sidang media yang dipenuhi wartawan, dua hari selepas kekalahan 4-0 kepada Barcelona sehingga penyokong menuntut peletakan jawatan jurulatih.

“Kami menganalisis keadaan itu dan saya di sini untuk mengumumkan bahawa jurulatih Real Madrid mempunyai sokongan penuh kami,” kata Perez.

“Dia adalah jurulatih yang kami pilih berdasarkan profesionalisme, pengalaman dan kemampuannya. Dia mempunyai kebolehan untuk membawa skuad ke arah potensinya,” kata Perez yang pertama tampil selepas aksi kelabnya Sabtu lalu.

Selepas perlawanan itu, dia dan Benitez menerima ejekan kuat dari penyokong di tempat gelanggang sendiri di Stadium Santiago Bernabeu.

“Saya memahami kekecewaan peminat dan penyokong kita selepas apa yang terjadi. Namun Benitez baru memulakan kerjanya dan kita perlu memberikan ruang untuknya.

“Apa yang lebih perlu ialah penyokong menunjukkan sokongan kepada pasukan dan pemain,” kata Perez. Perez sebaliknya berkata, Benitez perlu diberi pujian kerana Madrid kehilangan beberapa pemain yang cedera sejak jurulatih itu mengambil alih kira-kira enam bulan lalu.

Katanya, keputusan yang diperoleh Real di bawah Benitez juga tidaklah buruk kecuali dua kekalahan dalam La Liga musim ini.

ARTIKEL YANG SAMA