Real menang meski tanpa Ronaldo

Real menang meski tanpa Ronaldo

MADRID, 24 April – Gareth Bale merembat dua gol dan menjadi inspirasi buat pasukan Real Madrid yang bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang 3-2 ke atas Rayo Vallecano dalam aksi La Liga, malam tadi.

Kemenangan penting itu turut menyaksikan The Galaticos merampas kedudukan teratas liga buat sementara, tatkala menanti keputusan perlawanan dua lagi pencabar, Barcelona dan Atletico Madrid yang beraksi lewat.

Tanpa kelibat penyerang utama, Cristiano Ronaldo, harapan Real untuk terus mencabar kejuaraan tampak tipis apabila Vallecano mendahului 2-0 menerusi jaringan Adrian Embarba dan Miku. Gawang Real bocor seawal minit ketujuh perlawanan sebelum sekali lagi dibolosi pada minit ke-14 dengan Bale mencetus kebangkitan menerusi jaringan pertamanya pada minit ke-35.

Ketinggalan 2-1 berakhir babak pertama, kebangkitan menakjubkan Real bermula dengan jaringan penyamaan Lucas Vázquez pada minit ke-52 sebelum Bale meledak gol kedua peribadi sembilan minit sebelum masa perlawanan tamat.

Aksi menentang Vallecano adalah perlawanan pertama dalam kempen La Liga yang menyaksikan Real tanpa khidmat Ronaldo akibat kecederaan paha.

Aksi Gareth Bale dalam perlawanan tersebut. – AFP
Aksi Gareth Bale dalam perlawanan tersebut. – AFP

Selain itu, jurulatih, Zinedine Zidane terpaksa meletakkan Sergio Ramos dan Luka Modric di bangku simpanan sebagai persediaan perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City yang dijadual pada awal pagi Rabu ini. – AFP