Real nyaris dimalukan

Real nyaris dimalukan

MADRID, 15 Sept – Pemain Terbaik Eropah Cristiano Ronaldo dan Alvaro Morata meledak gol pada minit-minit terakhir perlawanan bagi mengesahkan kemenangan Real Madrid yang mencipta kebangkitan untuk menewaskan Sporting Lisbon 2-1 dalam kempen Liga Juara-Juara, semalam.

Penyandang juara itu tampak seakan mengharungi kekalahan pertama di laman sendiri dalam tempoh lima tahun di Liga Juara-Juara selepas Bruno Cesar meletakkan Sporting di depan tiga minit selepas babak kedua bermula.

Begitupun, di penghujung perlawanan, sepakan percuma Ronaldo memberikan gol penyamaan buat tuan rumah sebelum Morata menyambar hantaran rendah James Rodriguez untuk mengesahkan kemenangan pada masa kecederaan.

“Kami memulakan perlawanan dengan sedikit pasif,” kata Ronaldo kepada BeIN Sports mengenai perlawanan menentang kelab di mana dia memulakan kariernya.

“Tetapi bola sepak adalah seperti ini dan Real Madrid adalah seperti ini. Kebangkitan daripada ketinggalan adalah sebahagian daripada stadium bersejarah ini.”

Ronaldo (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjaringkan gol menentang Sporting Lisbon di stadium Santiago Bernabeu kelmarin. – AFP
Ronaldo (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjaringkan gol menentang Sporting Lisbon di stadium Santiago Bernabeu kelmarin. – AFP

Bos Real, Zinedine Zidane turut memuji kebangkitan kelab bimbingannya sekalipun menampilkan aksi di bawah tahap sebenar.

“Saya gembira kerana kami perlu bergelut, namun kami tidak pernah mengalah,” kata legenda Perancis itu. “Saya tidak tahu ia adalah keputusan yang adil atau tidak, namun kami percaya sehingga penghujung perlawanan. Kami perlu bermain dalam 90 minit.”

Pertembungan di Bernabeu itu membabitkan dua pasukan paling berprestasi tinggi ketika ini dengan Real memenangi 15 perlawanan La Liga berturut-turut sejak Mei lalu manakala Sporting mengharungi 13 kemenangan berturut-turut di Portugal.

Begitupun, pelawat tampak jauh lebih yakin ketika mereka menguasai permainan dalam tempoh sejak perlawanan yang memberi kegembiraan sementara buat penyokong dari Lisbon.

Lawan Real selepas ini ialah menentang Borussia Dortmund yang mengulangi pertembungan separuh akhir 2013 di mana gergasi Jerman itu menang 4-3 menerusi agregat.

Dortmund memulakan kempen Eropah mereka dengan bergaya apabila membelasah Legia Warsaw untuk menghuni tangga teratas Kumpulan F. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA