Real tak cadang tambah pemain

Real tak cadang tambah pemain

MADRID, 24 Jan – Bos Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan dia tidak perlu memasuki pasaran perpindahan walaupun penggantungan pemain selama setahun dikenakan terhadap kelab berkenaan.

Real dibenarkan menandatangani pemain sehingga penghujung bulan ini, tetapi selepas itu dilarang daripada menandatangani pemain baharu sehingga Julai 2017 kecuali rayuan mereka terhadap penggantungan oleh FIFA itu berjaya.

Khabar angin mengatakan Real boleh kembali memikirkan minat mereka terhadap penjaga gol Manchester United, David de Gea selepas gagal melengkapkan pembelian pemain itu pada Ogos.

Bagaimanapun, selepas mengemudi pasukannya mencipta dua kemenangan setakat ini sambil menjaringkan 10 gol, Zidane melihat tidak perlu memperkuatkan pasukannya pada minggu depan.

“Ia tidak perlu. Sebenarnya saya gembira dengan skuad yang kami ada,” kata pengendali dari Perancis itu hari ini.

Zidane ketika bersama James Rodriguez. - Reuters
Zidane ketika bersama James Rodriguez. – Reuters

“Kami sudah memiliki 26 pemain dan ia adalah sukar kerana ada pemain yang tidak berada dalam skuad utama pada hari perlawanan.

Bagaimanapun saya gembira, saya tidak berhajat untuk mencari pemain lain kerana saya sudah memilikinya.”

Sementara itu, James Rodriguez bakal mengisi tempat ditinggalkan Gareth Bale untuk aksi Real Madrid menentang Real Betis, awal pagi esok selepas tonggak antarabangsa Wales itu dihimpit masalah kecederaan betis.

Bale ditimpa kecederaan sama ketika menjulang Real menang, 5-1 ke atas Sporting Gijon, hujung minggu lalu.

Pengendali Real, Zinedine Zidane, yang bakal mengetuai pasukan dalam perlawanan ketiga di bawah kendaliannya, menjelaskan Rodriguez sudah bersedia untuk mengisi kekosongan itu.

“Kita akan lihat nanti tetapi dia mengharungi minggu yang cukup baik ketika latihan seperti pemain lain.

“Saya gembira dengan apa yang dia lakukan dan dia sudah bekerja keras. Kita tahu khidmatnya cukup penting buat pasukan. Dia sudah bersedia untuk beraksi,” kata Zidane atau Zizou. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA