Real terpaksa berkongsi mata

Real terpaksa berkongsi mata

VALENCIA, 4 Jan (AFP) – Jurulatih Real Madrid, Rafael Benitez terpaksa menerima keputusan yang tidak menggembirakan sekembalinya ke Mestalla apabila pasukan Valencia bimbingan Gary Neville yang dua kali ketinggalan berjaya memperoleh satu mata apabila seri 2-2, awal pagi tadi.

Benitez memerlukan kemenangan untuk mencerahkan peluangnya kekal bersama kelab itu dan Madrid bermula dengan baik hasil gol cantik Karim Benzema.

Bagaimanapun, Valencia berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti Dani Parejo sejurus sebelum rehat babak pertama dan pelawat pula terpaksa bermain dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir apabila Mateo Kovacic dilayangkan kad merah.

Tandukan Gareth Bale memastikan Madrid mendahului namun ia tidak bertahan lama apabila Paco Alcacer mendapatkan mata penyamaan buat Valencia pada lapan minit terakhir perlawanan.

Cristiano Ronaldo dikawal rapi oleh pemain pertahanan Valencia. - Reuters
Cristiano Ronaldo dikawal rapi oleh pemain pertahanan Valencia. – Reuters

Keputusan seri itu menyebabkan Neville juga masih memburu kemenangan La Liga pertama dalam empat perlawanan sejak mengambil alih Valencia, bulan lalu.

Sementara itu, Madrid kini mengekori empat mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid dan dua mata di belakang Barcelona dengan bermain lebih satu perlawanan berbanding juara Eropah itu.

Benitez sebelum ini memperoleh sokongan presiden Madrid, Florentino Perez tetapi laporan media terkini mengatakan legenda Perancis dan jurulatih pasukan pelapis kelab itu, Zinedine Zidane bakal mengisi kerusi pengurus di Bernabeu jika tiada peningkatan keputusan berlaku.

“Saya tidak boleh mengelak orang lain membuat spekulasi. Apa yang saya boleh lakukan adalah memastikan pasukan bekerja seperti dilakukan hari ini,” kata Benitez.

“Pemain meletakkan usaha yang besar tetapi malangnya ia tidak mencukupi untuk memperoleh tiga mata.”