Real terus gegar La Liga

Real terus gegar La Liga

MADRID, 18 Jan – Permulaan impian Zinedine Zidane sebagai bos Real Madrid di La Liga berterusan ketika kelab gergasi itu meledak empat gol dalam tempoh 18 minit untuk membelasah Sporting Gijon 5-1, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kegembiraan Real itu diganggu dengan kecederaan dua tonggak, Gareth Bale dan Karim Benzema dengan kedua-duanya terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Bale yang dipapah keluar selepas dipercayai mengalami kecederaan paha sejurus sebelum babak pertama berakhir turut menyumbang gol pertama Real seawal minit ketujuh perlawanan.

Ia menjadi jaringan ke-11 bintang tengah Wales itu dalam lapan perlawanan.

Benzema dan Cristiano Ronaldo masing-masing meledak dua gol juga pada babak pertama sebelum penyerang Perancis itu terpaksa dikeluarkan kerana bertembung dengan rakan sepasukannya, James Rodriguez.

Cristiano Ronaldo ketika membuat jaringan pertama buat Real Madrid pada perlawanan tersebut. - Reu-ters
Cristiano Ronaldo ketika membuat jaringan pertama buat Real Madrid pada perlawanan tersebut. – Reu-ters

Real ketika ini sudah menjaringkan 35 gol daripada enam perlawanan sejak tewas 4-0 kepada Barcelona di laman sendiri pada November lalu.

“Kami bermain dengan amat baik pada babak pertama. Kami memberi tumpuan penuh sejak permulaan perlawanan. Kami bersedia dengan baik dan kami gembira bagaimana perlawanan ini berlangsung,” kata Zidane.

“Karim berdepan kecederaan, yang nampaknya tidak begitu teruk. Keadaan Gareth pula lebih menyukarkan kerana ia berlaku di pahanya dan pada kakinya yang sebelum ini bermasalah.

“Kita akan lakukan imbasan dan berharap tiada apa yang serius,” kata legenda Perancis itu.

Pada penampilan sulung sebagai pengurus, Real mencatat kemenangan 5-0 ke atas Deportivo la Coruna pada aksi di Bernabeu, minggu lalu dengan Zidane hanya melakukan satu perubahan berbanding skuadnya sebelum ini dengan membawa masuk Raphael Varane bagi menggantikan kapten, Sergio Ramos yang cedera. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA