Real tolak bidaan United untuk Ramos

Real tolak bidaan United untuk Ramos

LONDON, 26 Jun (Agensi) – Tawaran Manchester United untuk mendapatkan bek Real Madrid, Sergio Ramos pada nilai 35 juta pound ditolak oleh pengurusan kelab La Liga itu.

Keputusan Madrid itu dimaklumkan kepada pemain berkenaan melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jose Angel Sanchez ketika bertemu dia dan wakilnya pada kemuncak perbincangan di pusat latihan pasukan di Valdebebas.

Sebelum bercuti Ramos, 29, memberitahu kelabnya, dia mahukan masa depannya diselesaikan sebelum skuad Los Blancos bertemu semula pada 10 Julai untuk program Jelajah Australia dan China.

Pemain Sepanyol ini kecewa selepas tidak dipedulikan dan memberikan gambaran hendak berpindah ke Old Trafford berbanding dengan minat United untuk berbincang mengenai terma baru kontraknya.

Difahamkan, pemain ini menerima gaji bersih 4 juta pound setahun di Bernabeu dan kini mahukan ia ditambah menjadi 6.5 juta pound.

United dikatakan sedia menawarkan pemain itu dengan perjanjian 7.8 juta pound untuk membawanya masuk ke Old Trafford.

Kini pasukan itu sedia menimbangkan untuk mengkaji semula nilai bidaan berkenaan, berikutan jumlah yang ditawarkan itu tidak termasuk membabitkan penjaga gol, David de Gea.

Ramos menjadi pemain pertama Real yang berusaha untuk meninggalkan kelab itu selepas Ancelotti dipecat dan digantikan oleh Rafael Benitez.

ARTIKEL YANG SAMA