Real tumbang

Real tumbang

MADRID, 28 Feb (Agensi) – Impian Real Madrid memintas Barcelona di puncak La Liga semakin pudar selepas skuad bimbingan Zinedine Zidane itu tewas 0-1 di laman sendiri kepada pasukan jiran, Atletico Madrid, malam tadi.

Kekalahan tipis hasil jaringan tunggal penyerang Antoine Griezmann pada minit ke-53 itu menyaksikan skuad Los Blancos kini ketinggalan sembilan mata di belakang Barcelona dengan skuad Luis Enrique mempunyai satu perlawanan dalam tangan. Bagi Atletico pula, kemenangan itu terus merapatkan jurang mereka dengan Barcelona kepada lima mata.

Pada perlawanan lain, Celta Vigo mencuri tiga mata di gelanggang lawan selepas menewaskan Getafe 1-0 hasil jaringan Nolito pada minit ke-71 untuk berada di kedudukan keenam liga.

Espanyol pula terus meletakkan Sporting Gijon dalam zon penyingkiran selepas meraih kemenangan 4-2 di Stadium El Molinon. Jaringan Espanyol dihasilkan Burgui pada minit ke-41, Gerard Moreno (48 dan 58) dan Hernandez (80) sementara dua jaringan tuan rumah disumbangkan oleh Carlos Castro pada minit ke-19 dan 62.

pg21_160229_b

Sementara itu, Real Betis pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 2-2 dengan Rayo Vallecano.

Jaringan Real Betis terhasil pada minit ke-14 dan 28 menerusi Ruben Castro sementara Manucho menjadi penyelamat Vallecano dengan dua jaringan pada minit ke-48 dan 51.

Nasib sama menimpa Real Sociedad yang terikat 1-1 dengan Malaga di Stadium Anoeta.

Pelawat terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Duje Cop pada minit ke-56 sebelum Imanol Agirretxe menyelamatkan maruah Sociedad dengan gol penyamaan 10 minit sebelum perlawanan tamat.

ARTIKEL YANG SAMA