Real turun dengan fokus tuah 2014

Real turun dengan fokus tuah 2014

MANCHESTER, United Kingdom, 26 April – Real Madrid akan bermain dengan fokus sama yang memberikan mereka kejayaan ke-10 Piala Eropah pada 2014, kata ketua jurulatih Zinedine Zidane, semalam.

Zidane yang melakukan voli menakjubkan ketika membantu Madrid mencipta kejayaan dalam Liga Juara-Juara berdepan Bayer Leverkusen pada 2002, bertugas selaku pembantu Carlo Ancelotti ketika gergasi Sepanyol itu mengatasi pencabar bandar raya sama, Atletico Madrid 4-1 dua tahun lalu untuk meraih gelaran paling lama dinantikan ‘Decima’.

Dua tahun berlalu, dia kini mempersiapkan Real Madrid untuk separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok waktu Malaysia di tempat lawan berdepan Manchester City. Dan daripada apa dilihatnya dalam bilik persalinan, dia percaya mahkota Eropah ke-11 semakin menghampiri.

Ditanya sama ada pemain 2016 memiliki apa yang diperlukan untuk menjadi Raja Eropah, Zidane membalas: “Sudah tentu. Pemain sangat fokus dan memberi tumpuan.

“Pada 2014 keadaan yang sama berlaku dalam bilik persalinan. Saya nampak semua pemain fokus dan mensasarkan untuk menang.

Zidane menjalani latihan bersama anak buahnya di Stadium Etihad, kelmarin. – AP
Zidane menjalani latihan bersama anak buahnya di Stadium Etihad, kelmarin. – AP

“Kini kami sedang berusaha untuk ke final. Kami sedar ia akan menjadi sukar, tetapi kami bersedia untuk apa saja. “Kami perlu benar-benar fokus sepanjang 90 minit, dan lebih lagi jika diperlukan. Kemudian kami ada perlawanan kedua di Madrid minggu depan. Apa yang kami perlu lakukan ketika ini ialah fokus untuk esok.”

Zidane menjangka penyerang Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema dapat diturunkan setelah kedua-dua pemain tersebit disahkan cergas selepas mengalami kecederaan.

Hatrik Ronaldo membantu Madrid mengatasi defisit 2-0 perlawanan pertama menentang Wolfsburg pada peringkat suku akhir, dengan pemain Zidane menang 3-0 pada perlawanan kedua di Bernabeu, tetapi Gareth Bale berkata, pengalaman di Arena Volkswagen perlu dijadikan pengajaran.

“Jelas sekali kami tidak mempunyai prestasi yang hebat di Wolfsburg, tetapi ia adalah sesuatu yang kami telah belajar dan perlu diperbetulkan,” kata pemain dari Wales itu yang akan bermain untuk perlawanan pertama di England sejak meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai Madrid dengan rekod perpindahan dunia pada 2013.

“Kami perlu lebih sabar dan bijak mengatur serangan dan bertahan sebaik mungkin. Jika kekal padu dan bermain sebagai satu pasukan, kami mempunyai peluang yang besar.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA