Realisasi impian belia

Realisasi impian belia

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Golongan muda negara ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam budaya menabung dan kesedaran kewangan bagi perancangan masa depan mereka.

Perancangan ini termasuklah mengatur kewangan dan mendapatkan pembiayaan terutamanya pembiayaan rumah yang bertepatan. Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Mubashar Khokhar menekankan perkara itu semasa berucap pada Perasmian BIBD Home Showcase ke-8 yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong hari ini.

Perasmian pameran berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi dan Kewangan), Dr Hajah May Faezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Menurut Mubashar, bagi merealisasikan impian golongan muda dan rakyat untuk memiliki rumah, BIBD komited menyediakan perkhidmatan yang bersesuaian. Dalam tahun lalu sahaja, BIBD telah berjaya membantu 1,400 keluarga untuk memiliki rumah impian mereka sendiri.

Dr Hajah May Faezah memotong reben ketika merasmikan Pameran BIBD Home Showcase ke-8.
Dr Hajah May Faezah memotong reben ketika merasmikan Pameran BIBD Home Showcase ke-8.

Menurutnya, BIBD menguasai kira-kira 55 peratus bahagian pasaran bagi pinjaman perumahan mempunyai tanggungjawab besar untuk memberikan yang terbaik.

Ia juga menyelaraskan usahanya supaya selari dengan Wawasan 2035 bagi memberikan sokongan berterusan kepada pembangunan dan perkembangan perusahaan kecil dan sederhana tempatan menerusi pelancaran SME 360, baru-baru ini.

BIBD Home Showcase ke-8 membawa tema ‘Gaya Hidup’, mengetengahkan pakej-pakej pembiayaan BIBD termasuk pembiayaan rumah, pembiayaan menaik taraf rumah, pembiayaan pendidikan dan pembiayaan persendirian BIBD.

Di samping itu, pameran juga menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kewangan bagi para pengunjung yang dikendalikan oleh perancang kewangan Islam BIBD yang diiktiraf.

Sepanjang pameran selama 10 hari yang bermula hari ini hingga 1 Mei itu, para pelanggan boleh menikmati tawaran pengecualian yuran pemprosesan skim pembiayaan dan pembiayaan menaikkan taraf rumah BIBD serta diskaun sebanyak 50 peratus bagi yuran pemprosesan pembiayaan persendirian dan pembiayaan rumah.

Pameran itu juga merupakan platform komprehensif bagi bakal pemilik rumah untuk melihat sendiri peluang menarik dalam bidang hartanah dan menaikkan taraf rumah mereka menerusi rakan-rakan pameran BIBD termasuk dari industri perumahan seperti rekaan dalam, sekuriti, kontraktor dan agensi hartanah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Ja’afar dalam temu bual ringkas bersama media selepas perasmian pameran itu, berkata bahawa BIBD terus komited untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang menarik kepada para pelanggan mereka di mana mereka boleh menikmati tawaran-tawaran istimewa.

Beliau juga berkata, BIBD seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan BIBD juga terus komited untuk membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana tempatan menerusi pelbagai produk dan pembiayaan yang sesuai bagi keperluan pembiayaan masing-masing.

Hajah Nurul Akmar turut menyatakan harapan agar pameran itu akan menarik lebih banyak golongan muda membuat pelaburan perumahan pada usia yang muda supaya mereka boleh mempunyai hartanah mereka sendiri dan juga supaya mereka boleh mencapai status bebas hutang pada usia 40-an nanti.

Pameran itu dibuka untuk kunjungan orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat di mana ia dibuka dari pukul 2 petang hingga 10 malam.

Bagi mereka yang ingin untuk mendapat maklumat lanjut dan penerangan mengenai Pembiayaan Rumah BIBD atau produk dan perkhidmatan BIBD yang lain, mereka boleh melayari laman media sosial BIBD, iaitu Instagram, BIBDBRunei atau laman Facebook, www.facebook.com/bibdbrunei atau menghubungi Pusat Perhubungan BIBD di talian 2238181 atau mana-mana cawangan BIBD yang berhampiran.

ARTIKEL YANG SAMA