Realisasikan zon bebas senjata nuklear

Realisasikan zon bebas senjata nuklear

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos (Bernama) – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan hari ini menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan sesi bersemuka Menteri-menteri Luar ASEAN bersama Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah pada sebelah malam, menghadiri Jamuan Malam bagi menteri-menteri serta isteri yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-48 yang dihoskan oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ dan sesi bersemuka Menteri-menteri Luar ASEAN bersama Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), hari ini Anifah berkata, ASEAN akan memperhebatkan usaha untuk mendorong Negara Senjata Nuklear (NWS) supaya menyetujui protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat hari ini selepas Suruhanjaya SEANWFZ mengkaji semula perkembangan yang dicapai dalam pelaksanaan Perjanjian dan Pelan Tindakan (POA) SEANWFZ.

Duli Yang Teramat Mulia berbual dengan Datuk Seri Anifah Aman selepas gambar kumpulan sebelum Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur. – Bernama
Duli Yang Teramat Mulia berbual dengan Datuk Seri Anifah Aman selepas gambar kumpulan sebelum Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur. – Bernama
Duli Yang Teramat Mulia berbincang dengan Datuk Seri Anifah Aman sebelum bermulanya mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. – Bernama
Duli Yang Teramat Mulia berbincang dengan Datuk Seri Anifah Aman sebelum bermulanya mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. – Bernama
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama Menteri-menteri Luar ASEAN sebelum memulakan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, kelmarin – Bernama
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama Menteri-menteri Luar ASEAN sebelum memulakan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, kelmarin – Bernama

Suruhanjaya itu, katanya membincangkan secara menyeluruh isu-isu berkaitan protokol Perjanjian SEANWFZ dan bertukar-tukar pandangan mengenai kaedah terbaik dalam memastikan NWS iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, menyetujui terhadap protokol itu secepat mungkin.

“Suruhanjaya bersetuju menggandakan usaha bagi menyelesaikan isu-isu tertangguh berkaitan pemeteraian dan pengesahan terhadap protokol oleh NWS, yang belum selesai susulan keraguan kepada protokol itu oleh Perancis, Rusia dan United Kingdom,” katanya.

Anifah berkata dalam hal itu, Jawatankuasa Eksekutif Suruhanjaya SEANWFZ telah ditugaskan untuk meneruskan perbincangan dan membuat pertimbangan terhadap keraguan itu yang membawa implikasi undang-undang dan teknikal terhadap Perjanjian SEANWFZ.

Sementara itu, malam ini semasa berucap pada majlis jamuan malam bersempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48, Anifah merakamkan penghargaan kepada bapa pengasas ASEAN berikutan wawasan mereka dalam menyatupadukan negara di rantau ini, dan dalam usaha ke arah itu, berjaya memupuk keamanan serta kestabilan.

Beliau menarik perhatian bahawa mereka mengetepikan perbezaan untuk memberi tumpuan kepada usaha yang boleh dilakukan secara bersama untuk menambah baik kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya bahawa kita amat terhutang budi kepada bapa pengasas kita yang mempunyai wawasan dengan membayangkan kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan beberapa negara yang kelihatannya seolah-olah berbeza sama sekali,” katanya.

Anifah berkata mereka mengorak langkah membina keyakinan yang penting untuk memupuk keamanan dan kestabilan di sebuah rantau yang diiktiraf sebagai sebuah ‘gelanggang persaingan antarabangsa.’

“Bukanlah satu kebetulan bahawa ASEAN sentiasa meletakkan premium yang tinggi kepada pematuhan teliti dalam hubungan antara negara, menghormati keutuhan wilayah dan prinsip tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara lain,” katanya.

AMM ke-48 dijadualkan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini esok.

ARTIKEL YANG SAMA