Reavie atasi Spieth

Reavie atasi Spieth

LOS ANGELES, 12 Feb – Pemain Amerika Syarikat (AS), Chez Reavie merakam lapan bawah par 63 sebentar tadi untuk mencipta kejutan ke atas dua bintang yang sering menjuarai acara major, Jordan Spieth dan Jason Day dalam pusingan pertama Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am.

Reavie melakar satu eagle dan tujuh birdie dengan diimbangi satu bogey di lapangan par-71 Monterey Peninsular, satu daripada tiga lapangan yang digunakan sepanjang pertandingan selain par-72 Pebble Beach Golf Links dan par-72 Spyglass Hill.

Bintang nombor satu dunia Spieth, pemenang Masters dan Terbuka AS tahun lalu, membuka aksi dengan catatan satu-bawah 71 di Spyglass Hill, dan catatan sama turut dilakukan pemenang Kejuaraan PGA, Day dari Australia.

“Sedikit lemah,” kata Spieth merujuk kepada aksi pusingan pertamanya, selepas membenam empat birdie sambil diimbangi tiga bogey.

Day pula yang membuat tee-off di lubang ke-10 Spyglass merakam tiga bogey dan dua birdie dalam sembilan lubang pertama.

Reavie membuat pukulan tee di lubang ke-13 pada pusingan pertama dari AT & T Pebble Beach National Pro-Am. – AFP
Reavie membuat pukulan tee di lubang ke-13 pada pusingan pertama dari AT & T Pebble Beach National Pro-Am. – AFP

Dia kemudian berjaya menutup cabaran bawah par selepas melakukan dua birdie selepas itu.

Pemain Sweden, Freddie Jacobson yang mengutip lima birdie pada enam lubang pertama lapangan Pebble Beach dan menambah dua birdie kemudiannya berpuas hati dengan catatan tujuh-bawah 65 untuk berkongsi tangga kedua bersama Cameron Smith dari Australia dan Bronson Burgoon (AS).

Pemain nombor satu dunia Jordan Spieth dan pemain ranking ketiga Jason Day berusaha mengelak perubahan disebabkan kejayaan gemilang ketika mereka mengintai peluang menjuarai kejohanan Pro-Am Pebble Beach dalam Jelajah PGA AS, minggu ini.

Bintang berusia 20-an itu, masing-masing menang kejuaraan utama buat kali pertama tahun lalu, mengungguli senarai pemain dan bintang selebriti yang bertanding di tiga lapangan berbeza di pantai Pasifik.

Spieth, penyandang juara Masters dan Terbuka AS, tidak banyak berubah sejak melonjak ke tangga teratas ranking dunia.

Day dari Australia, yang menjuarai kejohanan utama sulungnya pada Kejohanan PGA tahun lalu, mendedahkan perkara sama.

Day mempunyai anak-anak apabila merancang dengan jadual dan rutin latihannya, sesuatu yang tidak dimiliki pencabarnya dalam kalangan empat bintang muda terbaik dunia, Spieth, pemain kedua dunia Rory McIlroy dan pemain ranking keempat Rickie Fowler.

“Rickie, Rory dan Jordan tidak mempunyai anak,” kata Day.

“Penting buat saya berada bersama mereka menyaksikan mereka membesar. Mereka mungkin akan berada di sana satu hari nanti dan bermain seperti saya. Mengekalkan keseimbangan sebagai seorang pemain golf profesional agak sukar.” – AFP