Rebut akses pasaran luas

Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Negara Brunei Darussalam tidak seharusnya dilihat sebagai pasaran yang terdiri daripada hanya 420,000 orang memandangkan Pulau Borneo sudah mempunyai hubungan jalan raya yang baik dan ekstensif serta jaringan udara meluas yang memberikan akses serta-merta kepada pasaran sejumlah 18 juta orang.

Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam juga terlibat dalam beberapa perjanjian perdagangan bebas serantau di bawah ASEAN dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN bersama rakan-rakan dialognya yang membuka akses pasaran yang lebih meluas.

Dalam hubungan itu, pengusaha dan usahawan tempatan diseru untuk merebut peluang yang hadir daripada kewujudan pasaran yang luas berkenaan untuk mengembangkan lagi serta memperluaskan pasaran masing-masing.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof ketika membentangkan peruntukan bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan semasa Majlis Mesyuarat Negara bersidang bagi hari keenam di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Beliau turut menerangkan bahawa Negara Brunei Darussalam telah menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 8 Mac lalu di Santiago, Chile bersama 10 buah negara lain iaitu Australia, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan menyeru usahawan tempatan merebut peluang keemasan daripada perjanjian perdagangan ASEAN dan perjanjian perdagangan bebas bersama rakan antarabangsa.

“Perjanjian ini bukan sahaja akan membuka lagi laluan eksport bagi produk-produk tempatan pada pasaran di negara-negara tersebut yang terdiri daripada 500 juta penduduk tetapi juga akan menarik peluang pelaburan dengan mengambil kesempatan iklim pelaburan negara ini yang positif dan menarik.”

Manakala itu, dalam usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan berkata bahawa perwakilan-perwakilan Negara Brunei Darussalam akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aman dan stabil dengan persekitaran yang bersih dan hijau serta juga destinasi pelaburan dan peniagaan yang menarik.

“Ini dapat memberikan peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk menubuhkan usaha sama dengan syarikat-syarikat luar untuk membolehkan mereka menembusi pasaran antarabangsa dan mengembangkan pasaran produk-produk mereka.

“Perwakilan-perwakilan Negara Brunei Darussalam juga bersedia untuk membantu dalam mempromosi produk-produk tempatan yang dapat diketengahkan di negara-negara yang mereka berada,” ulasnya lagi.

Di samping itu, tambahnya, perwakilan-perwakilan selaku wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa bersedia memantau kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam yang berada di negara-negara berkenaan.

Bagi memudahkan proses pemantauan itu, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan menyarankan bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang ingin membuat perjalanan di luar negara untuk mendaftar secara dalam talian menerusi laman sesawang kementerian ataupun memaklumkan perwakilan-perwakilan Negara Brunei Darussalam di negara-negara berkenaan. “Kesejahteraan dan kepentingan negara di arena antarabangsa akan terus dikekalkan, ini adalah dilakukan dengan hubungan baik sesama jiran tetangga negara ASEAN dan negara-negara lain dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Di sinilah Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mengamalkan dasar saling hormat-menghormati terhadap kedaulatan, kemerdekaan dan identiti kebangsaan masing-masing selaku masyarakat dunia yang bertanggungjawab.”