Rebut ganjaran berlipat ganda

Rebut ganjaran berlipat ganda

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Bulan Ramadan, bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda menerusi pelbagai aktiviti keagamaan, sama ada dilakukan secara berkumpulan atau persendirian dan ia tidak hanya tertumpu di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadah, rumah-rumah persendirian, malahan juga di ibu pejabat persatuan-persatuan.

Sehubungan itu, bagi merebut peluang berkenaan, Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Daerah Belait hari ini telah menjadi tuan rumah kepada Majlis Tadarus anjuran Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) yang berlangsung di kediaman Abang Haji Hepnie bin OKPSD Abang Haji Abu Hanifah di Beribi.

Yang Di-Pertua PKP Daerah Belait, Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah semasa ditemui pada majlis itu menjelaskan, majlis tadarus ini diadakan secara bergilir-gilir di sepanjang bulan Ramadan.

Antara yang hadir ialah Yang Di-Pertua Persatuan Siswazah Wanita, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin dan Pengarah Bahagian Wanita PGGMB, Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar.

Antara ahli yang menyertai majlis tadarus yang dianjurkan oleh PKP Daerah Belait.
Antara ahli yang menyertai majlis tadarus yang dianjurkan oleh PKP Daerah Belait.

Peserta yang menyertai tadarus ini telah membaca Al-Quran secara bergilir-gilir dari Juz 19 hingga Juz 20 yang bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis-majlis keagamaan, dengan mengharapkan ganjaran pahala dan keberkatan bulan yang mulia ini, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan semua ahli-ahli peserta.

Tadarus yang diadakan secara bergilir-gilir ini akan diteruskan oleh persatuan di bawah MWNBD dan majlis penutup tadarus serta Khatam Al-Quran akan diadakan pada 30 Jun ini.