Rebut peluang besar industri pelancongan

Rebut peluang besar industri pelancongan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Pelancongan merupakan salah sebuah industri yang terbesar di dunia dan menyediakan pekerjaan yang amat penting di mana satu dalam 10 pekerjaan adalah berkaitan dengan pelancongan.

Menurut perangkaan daripada Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), pelancongan amat penting daripada segi ekonomi di mana pada 2009 sahaja, pelancongan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak AS$852 bilion.

Oleh itu, daripada perspektif serantau, terdapat peluang yang besar dalam industri pelancongan bagi Negara Brunei Darussalam untuk diterokai khususnya peluang-peluang yang wujud dalam ASEAN Mutual Recognition Arrangement on Tourism Professionals, jelas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE),

Dr. Chin Wei Keh ketika berucap di Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian dan Perjanjian Latihan Perantis bagi Perantisan Ntec dalam Perkhidmatan dan Masakan Profesional yang berlangsung di Dewan Kuliah, Jabatan Pesawat, IBTE Kampus Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan memorandum perjanjian di majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Urusan, Agensi Pelaburan Brunei dan juga Ahli Lembaga Gabenor IBTE, Awang Junaidi bin Haji Masri.

Dr. Chin (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Dayang Yew (kanan) di hadapan Awang Junaidi.
Dr. Chin (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Dayang Yew (kanan) di hadapan Awang Junaidi.
Para pelatih menandatangani Perjanjian Latihan Perantisan dengan syarikat-syarikat penaja mereka di majlis berkenaan.
Para pelatih menandatangani Perjanjian Latihan Perantisan dengan syarikat-syarikat penaja mereka di majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Shahriman bin Haji Besar, pengetua dan pegawai-pegawai kanan dari IBTE serta ibu bapa dan penjaga para perantis.

Dalam hubungan itu, Dr. Chin menyeru syarikat-syarikat dalam industri pelancongan dan hospitaliti untuk bekerja dengan lebih rapat lagi bersama-sama penyedia latihan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh sektor berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau percaya usaha itu, dapat meningkatkan standard dan peluang-peluang yang wujud bagi industri berkenaan secara menyeluruh.

Mengulas mengenai dengan Skim Perantisan Dwi-Sistem (Dual-System), beliau berkata skim itu di antara yang terbukti efektif dalam menyediakan latihan selaras dengan standard dan keperluan industri.

Beliau menerangkan lanjut bahawa kajian yang dikendalikan oleh National Apprenticeship Service (NAS), iaitu sebuah agensi kerajaan yang menyelaraskan perantisan di England, mendapati bahawa 92 peratus majikan yang mengambil bekerja perantis, percaya bahawa perantisan membawa kepada tenaga kerja yang lebih bermotivasi dan berpuas hati.

Menyedari akan manfaat dari latihan perantisan itu, Dr. Chin berkata salah satu inisiatif strategik yang diambil oleh IBTE adalah untuk mengembangkan pilihan perantisan untuk menghasilkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

Beliau yakin para perantis berpeluang untuk menyelami suasana kerja yang sebenar, dalam memastikan keaslian program latihan itu dan mampu untuk menyelaraskan kursus-kursus yang ditawarkan dengan keperluan industri.

Skim Perantisan Dwi-Sistem itu, jelasnya lagi merupakan skim yang serupa dengan yang digunakan oleh Jerman dan Austria di mana para perantis yang membahagikan masa mereka di antara belajar di bilik darjah dan latihan kerja di syarikat-syarikat yang ditetapkan.

Oleh itu, tambahnya lagi teori yang dipelajari oleh mereka di bilik darjah akan dikukuhkan lagi melalui latihan yang dibuat di tempat kerja serta pada masa yang sama, memberikan peluang kepada mereka mempelajari sikap, tanggungjawab dan budaya kerja syarikat berkenaan.

“Perkara itu, sering kali amat sukar untuk dicontohi dalam suasana sekolah,” jelas Dr. Chin, “Bagi majikan, perantis-perantis ini menyediakan kumpulan bakat yang penting di mana selepas latihan dengan syarikat, mereka akan memahami matlamat dan amalan syarikat berkenaan, menjadikan mereka bersedia untuk bekerja.”

Majlis seterusnya menyaksikan penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara IBTE yang diwakili oleh Dr. Chin Wei Kei dengan Freshco Group of Restaurants yang diwakili oleh Dayang Yew Foong Lim disaksikan oleh Awang Junaidi.

Majlis turut menyaksikan penandatangan Perjanjian Latihan Perantisan (ATA) oleh 40 orang perantis dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Kampus Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal yang menjalani Perantisan NTec dalam Perkhidmatan dan Masakan Profesional bersama-sama dengan syarikat-syarikat yang menaja mereka.

Di bawah ATA itu, para perantis yang dipilih akan menjalankan program latihan selama dua tahun di mana mereka akan belajar selama setahun di MTSSR bagi latihan berasaskan institusi (IBT) dan akan menghabiskan masa setahun lagi bersama dengan syarikat-syarikat penaja mereka untuk menjalankan latihan sambil kerja atau penempatan kerja mereka.

ARTIKEL YANG SAMA