Rebut peluang dalam AEC

Rebut peluang dalam AEC

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Bahiyah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Maklumat dan pendedahan mengenai potensi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) harus disebarkan dalam kalangan komuniti perniagaan kerana sejak penubuhannya awal tahun ini sebahagian sektor perniagaan tempatan tidak mengetahui atau memahami peluang yang ditawarkan oleh AEC.

Pada hari ini, Negara Brunei Darussalam menawarkan banyak peluang bagi syarikat asing membuat pelaburan dan membuka perniagaan tanpa perlu berhadapan dengan kerenah birokrasi dengan adanya khidmat e-dagang bagi melancarkan proses dan prosedur perniagaan di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Perdagangan) Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Lim Jock Hoi ketika menjawab pertanyaan pada sesi soal jawab Ceramah Niaga bertajuk ‘Komuniti Ekonomi ASEAN: Perkembangan, Impak, Peluang dan Cabaran’ yang berlangsung di The Hotel Empire & Country Club, hari ini.

Pada sesi ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Brunei-Perancis (FBBA) dan ditaja oleh Deloitte, Singapura, beliau yang hadir selaku tetamu kehormat majlis berkata antara syarikat yang akan mendapat manfaat daripada penubuhan AEC ialah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

pg09_160323_e

Dato Paduka Lim Jock Hoi (tengah) ketika sesi Ceramah Niaga bertajuk ‘Komuniti Ekonomi ASEAN: Perkembangan, Impak, Peluang dan Cabaran.’
Dato Paduka Lim Jock Hoi (tengah) ketika sesi Ceramah Niaga bertajuk ‘Komuniti Ekonomi ASEAN: Perkembangan, Impak, Peluang dan Cabaran.’

Ekoran sektor PKS menawarkan lebih 80 peratus pekerjaan kepada anak tempatan di negara ini, maka sektor itu harus berupaya merangsang aktiviti perniagaan dan berkembang untuk membolehkan mereka merebut pasaran di rantau ini yang bernilai $600 juta.

Katanya, “Sektor perniagaan tempatan harus mewujudkan persekitaran yang dapat meningkatkan persaingan di pasaran serantau dan antarabangsa dengan cara meningkatkan kualiti produk keluaran.”

Sehubungan itu, adalah penting bagi ASEAN mengharmonikan undang-undang dan peraturan supaya pengaliran import dan eksport barangan dan perkhidmatan dagangan dapat dijalankan dengan lancar dalam AEC.

Ditanya bagaimana Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik, yang ditandatangani Negara Brunei Darussalam pada bulan lalu, tidak bercanggah dengan AEC, Dato Paduka Lim menjelaskan, TPP dan AEC saling melengkapi dan mampu meningkatkan kredibiliti pelaburan.

Penceramah undangan, Pegawai Kanan Khidmat Nasihat Kewangan, Deloitte Singapura, Jeff Pirie ketika menyampaikan ceramahnya berkata, sektor perniagaan tempatan yang mempunyai pasaran terhad perlu mengubah perspektif perniagaan mereka supaya boleh berkembang di peringkat serantau.

“Komuniti perniagaan di Negara Brunei Darussalam seharusnya tidak terlalu bergantung pada pasaran tempatan, sebaliknya mula memikirkan untuk mengeksport produk keluaran mereka dan meraih manfaat yang ditawarkan oleh AEC,” katanya.

Ujarnya, untuk berjaya dalam AEC sesebuah syarikat tempatan perlu berdaya saing dan memfokuskan syarikatnya agar berbeza dengan syarikat lain serta membuat pelaburan dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya.

Pirie bagaimanapun berfikiran positif bahawa beberapa syarikat tempatan, terutama yang menceburi industri minyak dan gas dan pasaran khusus, berupaya untuk muncul sebagai syarikat yang berjaya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ceramah niaga yang dihadiri lebih 200 orang dari sektor awam, swasta dan ahli FBBA itu dihadiri sama oleh Presiden FBBA, Pierre Imhof dan Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron.

ARTIKEL YANG SAMA