Rebut peluang memperkasa ekonomi

Rebut peluang memperkasa ekonomi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Pemikiran bahawa kelulusan tinggi mesti menjawat jawatan pegawai tinggi di jabatan-jabatan kerajaan atau sektor swasta haruslah dihentikan kerana sudah tiba masanya generasi sekarang dan yang akan datang menganggap bahawa ilmu itu adalah sebagai pemangkin kepada apa jua bentuk pekerjaan terutama sekali yang boleh menjana ekonomi negara.

Dalam mendokong perkara ini, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit (gambar) selaku Penghulu Mukim Telisai, Daerah Tutong, menekankan bahawa sokongan pihak-pihak yang berkepentingan bagi memberikan kemahiran, pengalaman, pendidikan, pemantauan serta modal yang bersesuaian dalam keusahawanan adalah perlu.

Pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) petang tadi, Yang Berhormat turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 MMN, yang menyentuh tentang peranan besar ahli-ahli MMN sebagai pemaju kepada pembangunan negara supaya menggunakan pendekatan ‘delivery of approach’ agar sentiasa berpandangan jauh ke hadapan sebagai suatu persiapan integrasi dan persediaan sebelum menghadapi pelbagai persoalan yang akan timbul.

“Oleh itu, peranan kita sebagai rakyat agar berupaya melakukan tindakan yang bersesuaian dengan keadaan sekarang dan masa akan datang iaitu mengurangkan pergantungan kepada sumber minyak dan gas.”

pg08_160308_b

pg08_160309_MMN-_Logo

Menurut Yang Berhormat, bagi memperkasakan ekonomi ia adalah terpulang kepada rakyat untuk merebut peluang yang ada kerana kerajaan telah banyak membantu daripada segi infrastruktur dan kemudahan yang pro perniagaan.

Kerajaan juga telah menubuhkan pusat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan pencapaian agar perusahaan ini lebih meluas, berdaya saing dan berdaya tahan bukan sekadar untuk sara diri malah akan boleh dieksport dan mencapai tahap antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa pemikiran yang masih mahu bergantung kepada bantuan-bantuan kerajaan perlu dikikis. Pusat-pusat PKS, jelas Yang Berhormat lagi, adalah sebagai indung PKS yang akan mendahului dan memantau sehingga anak-anak PKS berjaya hingga boleh berdiri sendiri dan berdikari.

Di samping itu juga, tambah Yang Berhormat, persekitaran yang mudah dan proses tatacara perlaksanaan perusahaan adalah diperlukan bagi meningkatkan produktiviti PKS, yang mana beliau mencadangkan agar kebenaran atau kelulusan yang berkaitan dengan perusahaan dan perniagaan dipermudahkan dan dipercepatkan dalam mengembang majukan PKS.

“Pada tahun ini, perlaksanaan mengadakan lesen perniagaan adalah sangat dihargai dan disambut baik oleh orang ramai. Yang pentingnya dari peringkat awal wujud PKS adalah pemantauan berterusan oleh agensi penguatkuasaan dan kemudian apabila keadaan kukuh dan berjaya barulah melaksanakan peraturan-peraturan.”

ARTIKEL YANG SAMA