Rebut peluang program ditawar di Politeknik Brunei

Rebut peluang program ditawar di Politeknik Brunei

Oleh Anwar Rosly

Gambar oleh Politeknik Brunei

 

KUALA BELAIT, 25 Feb – Pelbagai program dan kursus telah ditawarkan oleh Politeknik Brunei kepada para pelajar khususnya lepasan ‘O’ Level untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat diploma bagi pengambilan bulan Julai tahun ini menerusi Hari Terbuka Politeknik Brunei yang berlangsung di Sekolah Sains dan Kejuruteraan di Kampus Lumut hari ini.

Inti pati Hari Terbuka bertema ‘#pbskillfulgeneration’ itu membolehkan orang ramai khasnya para pelajar mengadakan sesi konsultasi dan interaksi bersama pensyarah-pensyarah Politeknik Brunei mengenai syarat-syarat kemasukan dan program-program Diploma yang ditawarkan pada tahun 2016.

Selain itu, para pengunjung juga diberikan taklimat mengenai pembelajaran dan pengajaran dari Sekolah/Jabatan Politeknik Brunei; peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta; konsultasi daripada pegawai-pegawai Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Higher Education Computerised Admission System (HECAS), Kementerian Pendidikan serta dibawa meninjau lebih dekat mengenai kampus Lumut Politeknik Brunei.

Menurut kenyataan dari Politeknik Brunei, antara tujuan Hari Terbuka itu dianjurkan adalah untuk memberikan peluang pelajar lepasan ‘O’ Level meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat lanjutan bagi memasuki kursus-kursus Diploma yang ditawarkan di Politeknik Brunei sesi 2016/2017.

Oleh yang demikian, bagi pengambilan bulan Julai 2016, Politeknik Brunei menawarkan program diploma tiga tahun kepada pelajar-pelajar yang memperolehi sekurang-kurangnya lima keputusan kredit GCE Peringkat ‘O’ Level dalam subjek-subjek tertentu, dan yang mempunyai kelayakan Sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Hari Terbuka Politeknik Brunei di Kampus Lumut turut mengadakan beberapa aktiviti menarik.
Hari Terbuka Politeknik Brunei di Kampus Lumut turut mengadakan beberapa aktiviti menarik.

Bagi Jurusan Sains dan Kejuruteraan di Kampus Lumut menawarkan Diploma Peringkat 5 yang bersamaan dengan Peringkat HND dalam bidang Kursus Seni Bina, Teknologi Sains, Kejuruteraan Awam, Telekomunikasi dan Sistem Kejuruteraan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Reka Bentuk Dalaman, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Petroleum.

Manakala bagi Jurusan Perniagaan di Kampus Ong Sum Ping menawarkan Diploma Level 5 yang bersamaan dengan Level HND dalam bidang Kursus Perakaunan Perniagaan dan Kewangan, Pengajian Perniagaan, Pengajian Perniagaan dalam Bidang Keusahawanan, Pengajian Perniagaan Dalam Pengurusan Sumber Manusia dan Pengajian Perniagaan Dalam Pemasaran.

Jurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Kampus Ong Sum Ping pula menawarkan Diploma Peringkat 5 yang bersamaan dengan Peringkat HND dalam bidang Kursus Media Digital, Rangkaian IT Dan Keselamatan, Sistem Maklumat, Informatif Perpustakaan dan Pengkomputeran dan Pembangunan Web.

Jurusan Sains Kesihatan menawarkan Diploma Peringkat 4 yang bersamaan dengan Peringkat OND dan ND dalam Bidang Kursus Sains Kesihatan dalam Perbidanan, Kejururawatan dan Paramedik. Sementara itu, Politeknik Brunei juga akan menawarkan program diploma tiga tahun dalam jurusan sains kesihatan.

Semua program yang ditawarkan oleh Politeknik Brunei membawa kepada kelayakan Diploma Peringkat 5 yang sebanding dengan kelulusan Diploma Tertinggi Kebangsaan (BDTVEC HND) dan Diploma Peringkat 4 yang sebanding dengan kelulusan Diploma Biasa (OND, National Diploma) diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), Negara Brunei Darussalam.

Dengan penawaran program dan kursus berkenaan, ia adalah salah satu strategi pendidikan negara untuk mentransformasikan pendidikan teknikal dan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara dalam menangani realiti suasana ekonomi tempatan dan global yang cepat berubah.

Bagi maklumat lanjut dan terkini mengenai Politeknik Brunei bolehlah melayari laman portal rasmi Politeknik Brunei di www.pb.edu.bn

ARTIKEL YANG SAMA