Rebut peluang sertai pertandingan fotografi

Rebut peluang sertai pertandingan fotografi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 April – Para peminat fotografi kini masih berpeluang untuk mengikuti Pertandingan Fotografi Pusat anjuran Pusat Beli-Belah KBSentral yang telah dibukakan penyertaannya sejak 7 Februari.

Pihak penganjur semasa ditemui, hari ini, memberitahu bahawa setakat ini jumlah penyertaan adalah menggalakkan namun mereka masih memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengambil gambar-gambar yang menarik sesuai dengan tema yang disediakan sehingga hari terakhir penyertaan pada jam 9 malam 22 April ini.

Di samping pertandingan berkenaan, pihak pengurusan KBSentral turut mengadakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan di pusat membeli-belah berkenaan untuk membukakan peluang kepada peserta untuk merakamkan lebih banyak gambar-gambar menarik selain boleh menterjemahkannya dengan tema pertandingan iaitu ‘Saat Gembira di Sentral’.

Pelbagai hadiah lumayan menanti pemenang pertandingan berkenaan yang disediakan oleh penaja utama pertandingan iaitu Canon Interhouse.

Pemenang pertama bakal membawa pulang sebuah kamera EOS1200D EFS18 5MM Kit DSLR, manakala tempat kedua akan menerima kamera IXUS 300 HS dan pemenang ketiga akan menerima mesin pencetak Pixma MG2970 AI0 manakala itu, tiga orang lagi akan menerima hadiah cenderahati berupa Beg Goodie Canon.

Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut akan diadakan pada 30 April 2016, jam 2 petang.

Kesemua gambar-gambar yang dipertandingkan akan dinilai berdasarkan kerelevanannya dengan tema yang disediakan, di samping kreativiti dalam tafsiran tema, penggunaan warna dan cahaya, serta bayang-bayang dan komposisi gambar.

Pihak penganjur turut mengingatkan kepada semua peserta supaya hadir pada hari pengumuman pemenang, yang akan berlangsung di kawasan atrium, tingkat bawah Pusat Beli-Belah KBSentral.

ARTIKEL YANG SAMA