Rebut peluang tawaran biasiswa

Rebut peluang tawaran biasiswa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Bagi memberi pendedahan mengenai Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) kepada para pelajar, sesi taklimat mengenai skim tersebut telah diadakan bermula kelmarin selama dua hari.

Taklimat yang diadakan hari ini berlangsung di Dewan Serba guna Kompleks Yayasan di ibu negara telah dihadiri oleh 240 orang pelajar terbaik dari 17 buah pusat tingkatan enam, maktab dan sekolah menengah dan sekolah swasta.

Antara yang hadir ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur’ Azeezah binti Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar.

Pada sesi taklimat itu, Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa menerangkan mengenai syarat dan kriteria Skim Biasiswa Sultan’s Scholar di samping proses dan prosedur, kemudahan dan kemanfaatan dalam program perkembangan yang diberikan.

Beliau juga menjelaskan, skim biasiswa ini hanya diberikan kepada lima penuntut setiap tahun dan diharap memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan usaha dengan gigih lagi bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang dan bersiap siaga untuk memastikan mereka memenuhi kriteria skim ini.

Hajah Donnaliza ketika menjelaskan mengenai taklimat skim biasiswa itu.
Hajah Donnaliza ketika menjelaskan mengenai taklimat skim biasiswa itu.
Empat penerima Skim Biasiswa Sultan’s Scholar turut berkongsi pengalaman mereka sebagai penerima biasiswa.
Empat penerima Skim Biasiswa Sultan’s Scholar turut berkongsi pengalaman mereka sebagai penerima biasiswa.

Antara lain tujuan skim biasiswa ini diadakan adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang agama, raja dan negara.

Selain memberi penghargaan atas kejayaan penuntut tersebut, ia juga akan dapat meningkatkan motivasi penuntut tersebut untuk terus berusaha dan belajar.

Biasiswa Sultan’s Scholar ini merupakan biasiswa yang berprestij dan dianugerahkan kepada penuntut yang dikenal pasti oleh Yayasan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah.

ATAS & BAWAH: Antara pelajar dan jemputan yang hadir pada sesi taklimat Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan.
ATAS & BAWAH: Antara pelajar dan jemputan yang hadir pada sesi taklimat Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan.

pg12_160615_a

Pada sesi taklimat itu juga, Hajah Donnaliza menjelaskan bahawa peluang seumpama ini hendaklah diambil dan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Dalam proses pemilihan ini terdapat kriteria diambil kira termasuk penglibatan penuntut dalam pelbagai bidang dan kegiatan luar sekolah, penglibatan penuntut dalam kerja amal serta kemasyarakatan, penyertaan dalam aktiviti berunsur kegiatan fizikal, kerohanian dan keilmuan bagi mengasah bakat kepimpinan seorang penuntut.

Amalan dan keterlibatan ini mengasaskan kepimpinan berkualiti dalam kalangan penuntut di mana mereka perlu mengetahui pentingnya penglibatan dalam kerja amal, kemasyarakatan serta kegiatan yang boleh memupuk bakat kepimpinan serta empati terhadap masyarakat sekeliling.

Pada sesi taklimat itu, sesi soal jawab turut diadakan bersama empat orang penerima biasiswa skim ini yang memberi peluang kepada penuntut untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai keistimewaan skim tersebut.