Rebut Raja Pecut ASEAN 2015

Rebut Raja Pecut ASEAN 2015

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) – Sebanyak 50 pelumba terbaik Asia Tenggara akan berentap bagi merebut gelaran Raja Pecut ASEAN sempena ASEAN Cycle Fest dan OCBC Cycle KL 2015 yang akan diadakan di Dataran Merdeka dari 6 hingga 8 November depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed berkata semua anggota Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) telah menyatakan persetujuan menyertai acara itu semasa Kongres ACA di Singapura, Jun lepas.

Beliau berkata setiap negara anggota ASEAN bersetuju menghantar lima pelumba terbaik mereka menyertai acara itu yang merupakan acara kemuncak program ASEAN Cycle Fest dan OCBC Cycle KL 2015.

“Sudah tentu pelumba terbaik ASEAN akan menyertainya. Saya telah bertemu beberapa pelumba pada Sukan SEA di Singapura dan juga Kejohanan OCBC Cycle SEA Speedway. Pelumba ternama termasuk pelumba Malaysia seperti Mohd Hariff Salleh dan Muhammad Adiq Husainie Othman, yang turut menyertai kejohanan di Singapura dan meraih kemenangan di sana,” katanya selepas majlis pelancaran ASEAN Cycle Fest 2015 dan OCBC Cycle KL 2015 di sini.

Dalam pada itu, Naim berkata beliau menyerahkan kepada jawatankuasa skuad lebuh raya PKBM untuk memilih pelumba yang layak mewakili negara pada acara itu, kelak.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata penganjuran acara berbasikal selama tiga hari itu dapat membantu usaha kerajaan untuk membawa ASEAN dekat kepada rakyat.

“Salah satu objektif utama Kepengerusian ASEAN 2015 (oleh Malaysia) adalah untuk membawa ASEAN kepada rakyat supaya mereka memahami betapa penting ASEAN sebagai satu badan serantau,” katanya. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah OCBC Al-Amin Syed Abdull Syed Aziz Kechik, yang merupakan penaja utama program berbasikal berkenaan.

Penganjuran selama tiga hari itu merangkumi perlumbaan bagi merebut gelaran Raja Pecut Kuala Lumpur yang terbuka kepada pelumba tempatan pada 7 November serta persembahan kebudayaan dari negara-negara ASEAN, serta acara berbasikal 42km, diikuti acara kemuncak perlumbaan Raja Pecut ASEAN pada 8 November.

Perlumbaan akan diadakan bermula di Dataran Merdeka melalui kawasan segi tiga emas termasuk Menara KLCC, Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB), Masjid Negara sebelum kembali ke Bangunan Sultan Abdul Samad.

ARTIKEL YANG SAMA