Rebutlah ganjaran di bulan Ramadan

Rebutlah ganjaran di bulan Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Umat Islam sekali lagi diingatkan jangan melepaskan peluang untuk memperoleh ganjaran Allah sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dengan melipatgandakan amal kebajikan terutamanya membaca Al-Quran, berzikir dan bersedekah.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, dalam bulan ini terdapat satu peristiwa agung telah berlaku dalam sejarah Islam iaitu turunnya kitab suci Al-Quran, sebagai rahmat dan penawar menjadi pegangan, pedoman dan petunjuk yang menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah untuk sekalian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan akhirat.

Menurutnya, orang yang membaca dan meneliti ajaran-ajaran Al-Quran secara berterusan akan dikurniakan ganjaran yang amat besar antaranya diberikan ketenangan, diselubungi rahmat Allah, dikelilingi malaikat rahmat dan Allah sentiasa mengingatinya.

“Membaca Al-Quran merupakan perkara sunat yang sangat dituntut bagi umat Islam dan orang yang membaca Al-Quran dijanjikan ganjaran dan fadilat yang amat besar,” jelas Khatib.

Di dalam Al-Quran juga disebutkan membaca Al-Quran itu antara amalan yang dikategorikan sebagai satu perniagaan yang tidak akan ditimpa kerugian malah seseorang yang mengamalkannya akan memperoleh keuntungan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Selain itu pembaca Al-Quran juga akan dikurniakan nur di dalam hatinya oleh Allah dan memeliharanya dari kegelapan dan mereka juga memperoleh kemuliaan dan ibu bapanya diberi rahmat.

“Pembaca Al-Quran juga akan memperoleh kedudukan yang tinggi di dalam syurga,” jelas Khatib lagi.

Menurut Khatib, beberapa hari lagi kita akan memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadan, apabila memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadan, digalakkan untuk menghidupkan malam-malam tersebut dengan menggandakan amal ibadah.

“Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada 10 malam terakhir bulan Ramadan melebihi ibadat biasa yang Baginda lakukan pada malam-malam yang lain di mana sesungguhnya banyak ibadat ditingkatkan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam-malam tersebut.

Baginda juga banyak melakukan Iktikaf di masjid untuk beribadat kepada Allah, Qiamullail (menghidupkan malam dengan sembahyang sunat dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersembahyang pada waktu malam).

Antara sebab penekanan Rasulullah S.A.W terhadap keutamaan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan peningkatan ibadat baginda pada malam tersebut ada hubung kaitnya dengan Lailatul Qadar iaitu satu malam yang paling utama dari malam-malam yang ada di bulan Ramadan, bahkan sepanjang tahun. Ia adalah malam yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan.

“Melakukan amal ibadat di malam tersebut adalah lebih baik ganjarannya daripada melakukan amal ibadat selama seribu bulan di mana peluang menikmati yang ada di dalam bulan Ramadan hanya terbuka setahun sekali,” tegasnya.

Sehubungan itu, perlunya berusaha untuk mengakhiri bulan Ramadan dengan suatu yang bermanfaat yang boleh menjana rasa ketakwaan kepada Allah dan janganlah beribadat di malam ganjil saja dan mengabaikan malam-malam yang lain.

“Alangkah ruginya kita tidak merebut peluang yang datang kepada kita hanya sekali dalam setahun itu pada akhir Ramadan ini,” tambah Khatib.

ARTIKEL YANG SAMA