Red Bull beralih kepada Ferrari

Red Bull beralih kepada Ferrari

LONDON, 11 Sept (Agensi) – Penasihat Formula Satu (F1) Red Bull, Helmut Marko menegaskan, perancangan pasukan itu untuk menggunakan enjin Mercedes menjelang saingan musim perlumbaan 2016 kini terkubur.

Difahamkan, Mercedes gagal mencapai persetujuan untuk membekalkan enjin kepada Red Bull kerana tidak ingin meningkatkan daya kompetitif skuad pesaing mereka itu.

Sehubungan itu, Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner memikul tugas lebih mencabar dalam usaha mendapatkan pembekal enjin baharu bagi kegunaan jentera perlumbaan musim depan.

Pada saingan musim ini, Red Bull yang menggunakan enjin Renault sejak 2006 masih gagal mencapai prestasi terbaik dan dikatakan ingin beralih mengadakan kerjasama strategik dengan Ferrari.

Selain Renault, Honda merupakan satu lagi pembekal yang menyediakan enjin kepada skuad MacLaren, namun pasukan yang berpangkalan di Britain itu juga menghadapi masalah prestasi.

Mengulas perkembangan tersebut, Ketua Pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene berkata, pasukannya bersedia membekalkan enjin kepada Red Bull sekiranya perlu.

Menurut Arrivabene, langkah tersebut akan menjadi sia-sia sekiranya Red Bull gagal membina casis yang menepati kehendak kuasa tujahan dimiliki enjin Ferrari. “Jika mereka (Red Bull) mampu membina casis yang sempurna, mereka akan menjadi sebuah pasukan yang digeruni. Perlumbaan akan menjadi lebih menarik apabila ada pesaing yang mampu bersaing.

“Ia tidak bermakna Ferrari akan membekalkan enjin kepada Red Bull pada esok pagi. Setakat ini, kami tidak menemui sebarang masalah dihadapi pasukan-pasukan lain yang menggunakan enjin Ferrari,” ujar Arrivabene.

ARTIKEL YANG SAMA